Renault Captur kini sudah menjengah usia empat tahun dalam pasaran global, dan perlukan sentuhan yang lebih segar untuk kelangsungannya. Untuk itu, Renault memperkenalkan versi facelift bagi model crossover segmen B ini – walaupun sangat sedikit.

Di bahagian depan, grilnya diberikan rekaan semula dengan elemen palang krom pada logonya. Lampu utama LED Pure Vision juga diberikan sebagai pilihan. Lampu kabus LED dalam bentuk C pula terletak pada bahagian sudut bamparnya. Pendekatan reka bentuk pencahayaan ini turut dilanjutkan ke bahagian belakang – lampu belakang dengan lampu panduan LED.

Selain itu, skid plate pada bahagian depan dan belakang juga diberi kemasan baru. Bagi pilihan warna, Renault Captur facelift ini diberikan dua warna baru, Atacama Orange dan Ocean Blue, serta warna bumbung baru Platinum Grey bagi versi dwi-tona.

Ruang dalaman pula, pemilik boleh pilih daripada enam warna yang ditawarkan; Ivory, Ocean Blue, Caramel, Red, Satin Chrome dan Patina Chrome. Sebagai tambahan, ruang luaran hadir dalam lima pilihan warna; Ivory, Oceam Blue, Cappuccino, Red dan Atacama Orange.

Bagi spesifikasi peringkat ketiga ke atas, bumbung kaca panoramik disertakan, sekali dengan rim 17 inci dan dua rim 18 inci aloi rekaan baru. Bagaimanapun, tiada apa-apa perubahan pada enjin dan transmisi. Ia masih menggunakan tiga pilihan enjin terdahulu.

Yang dimaksudkan ialah enjin TCe 898 cc turbo tiga-silinder petrol (90 hp/135 Nm), enjin 1.2 liter TCe 120 turbo empat-silinder (116 hp/190 Nm) seperti yang ada di Malaysia dan enjin 1.5 liter dCi 90 empat-silinder turbodiesel (90 hp/220 Nm). Bagi transmisi, pilihan yang ada ialah manual lima-kelajuan dan kotak gear Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan.