Volkswagen Arteon – model gantian CC buat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

Volkswagen Arteon – model gantian CC buat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

Volkswagen Arteon yang dihasilkan sebagai model gantian kepada coupe empat-pintu CC sebelum ini kini telah pun didedahkan sepenuhnya di Geneva Motor Show. Model yang muncul sebagai model konsep Sport Coupe Concept GTE dua tahun lalu ini bakal diletakkan antara Passat generasi terkini dan juga model eksklusif untuk China iaitu Phideon.

Menurut VW, Arteon bakal “dilancarkan secara praktikal di setiap negata yang relevan dengan kelas kenderaan sepertinya.” Arteon bakal muncul dengan model asas ketika dilancarkan, dan bakal ditawarkan dengan varian Elegence dan R-Line selepas itu.

Model ini ditawarkan dengan pilihan enjin petrol TSI dan juga diesel TDI. Bagi versi diesel, ia hanya hadir dengan enjin 2.0 liter TDI, tetapi diberikan pilihan tiga talaan kuasa berbeza iaitu 150 PS, 190 PS dan juga 240 PS.

Untuk enjin petrol pula, dua enjin ditawarkan iaitu 1.5 liter TSI Evo dan juga 2.0 liter TSI. Enjin 1.5 liter yang digunakan merupakan enjin yang sama menjana Golf baharu, menghasilkan kuasa 150 PS. Bagi enjin 2.0 liter pula, ia ditawarkan dengan dua pilihan talaan kuasa iaitu 190 PS dan juga 280 PS.

Volkswagen Arteon – model gantian CC buat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

Bagi model TSI dan TDI dengan kuasa 150 PS, ia dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai ciri standard, dan pembeli turut boleh memilih transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DSG sebagai opsyen. Manakala untuk enjin lain, transmisi DSG tujuh kelajuan dipadankan secara standard. Khas untuk model 280 PS TSI, ia turut didatangkan standard dengan sistem pacuan semua roda 4Motion Volkswagen (opsyen untuk model 190 PS TDI)

Arteon menampilkan rekaan seiras dengan versi konsepnya yang muncul pada tahun 2015, dengan sedikit rekaan semula. Pada bahagian hadapan, model yang digelar sebagai gran turismo oleh VW ini menampilkan muncung yang panjang, serta ruang rodanya memenuhi fender hadapan.

Bonet hadapan direka agar kelihatan sebagai sebahagian dari muka Arteon ini, dengan garisan atas lampu hadapan LED (dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam) diletakkan selari dengan garis hujung bonet tersebut dan kemudian bersambung dengan gril hadapan. Bagi model R-Line, ia turut diberikan apron hadapan yang lebih sporty, menampilkan ruang kemasukan udara berbentuk-C dengan kemasan hitam kilat.

Seperti juga CC, Arteon direka seakan coupe dan kali ini menampilkan garis bahu yang lebih menyerlah dari lampu hadapan, melalui fender, pintu dan terus bersambung pada lamu belakang. Model asas akan diberikan rim 17-inci, manakala Elegence menerima rim Muscat 18-inci, sementara R-Line diberikan rim Sebring juga berdiameter 18-inci.

Volkswagen Arteon – model gantian CC buat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

Beralih kebelakang, lampu utama LED (Elegance dan R-Line diberikan fungsi penunjuk dinamik) ‘two-piece’ berkenaan direka selari dengan logo VW, manakala lencana Arteon ditempatkan di bawahnya. Dua kemasan untuk tip ekzos diberikan pada bampar bersama reflektor/lampu kabus yang direka tirus. Antara warna badan yang bakal diberikan untuk Arteon termasuk Curcuma Yellow, Atlantic Blue, dan Chili Red.

Arteon dibina berasaskan platform modular MQB kumpulan VW, dengan dimensi 4,862 mm panjang, 1,871 mm lebar, 1,427 mm tinggi dan jarak roda 2,841 mm. Jadi berbanding CC sebelum ini, model baharu ini 60 mm lebih panjang, 16 mm lebih lebar, 6 mm lebih tinggi serta jarak roda kini bertambah 131 mm.

Rekaan dalaman Arteon direka selari dengan rupa luarannya. Ia menampilkan papan pemuka yang agak ringkas dengan liang penghawa dingin kelihatan seperti merentangi keseluruhannya, diselitkan dengan hanya dua benda iaitu paparan instrumen dan jam analog.

Arteon turut diberikan opsyen untuk paparan instrumen digital Active Info Display sama seperti Passat, yang turut boleh dihubungkan kepada paparan head-up. Versi R-Line bakal diberikan roda stereng dengan reka bentuk tersendiri, bersama pedal-pedal sport aluminium (turut diberikan untuk Elegence).

Bagi sistem infotaimen pula, Arteon diberikan sistem Composition Media bersama skrin sesentuh 6.5-inci dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Sistem Discover Pro dengan skrin 9.2-inci yang turut boleh dikawal dengan gestur ditawarkan sebagai ciri opsyen. Ruang dalaman ini turut menerima pelbagai upholsteri dan kemasan termasuk kulit, kulit Nappa, Alcantara dan alumnium dalam pelbagai warna, selain turut diberikan lampu suasana bagi menaikkan imej premiumnya.

Menurut Volkswagen, jarak roda yang lebih panjang pada Arteon ini membolehkan ruang kakinya direka lebih luas berbanding CC, dengan panjang keseluruhan 1,016 mm, terbaik dalam kelasnya. Bumbung yang lebih panjang juga dapat memberikan ruang kepala yang lebih baik untuk penumpang belakang. Ruang but dicatatkan dengan kapasiti 563 liter, dan keseluruhan 1,557 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

Untuk keselamatan, Arteon hadir dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Bantuan Kecemasan generasi kedua, Bantuan Kekal Lorong, lampu selekoh ramalan dengan kawalan ramalan, PreCrash, Bantuan Sisi dan Bantuan Papan Tanda.

Volkswagen Arteon akan diproduksi di kilang VW Emden, dan bakal menerjah pasaran Jerman pada pertengahan Jun 2017. Walau bagaimanapun, tempahan telah mula diambil pada negara-negara terpilih setelah kemunculan sulungnya di Geneva ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required