2015 Lancer Evolution Final Edition

Walaupun Mitsubishi telah mengesahkan model Lancer bakal dikuburkan dan sekaligus menamatkan legasi Lancer Evolution, media permotoran global masih lagi terus mengajukan soalan kepada syarikat berkenaan adakah model berprestasi tinggi tersebut dirancang untuk dihasilkan semula.

Terbaharu, ketika ditanya pada Geneva Motor Show, ketua kenderaan segmen kecil dan sederhana Mitsubishi, Hiroshi Yamauchi berkata kepada Car Advice, beliau mengesahkan versi Ralliart untuk model SUV Eclipse Cross mungkin boleh diperkenalkan, tetapi beliau menegaskan tidak akan ada lagi model Evolution.

“[Ralliart boleh jadi] sebagai satu opsyen.” kata Yamauchi dan menambah “tetapi kami mahu mendapatkan maklum balas dari pasaran, selepas itu saya akan mengambil keputusan arah mana yang perlu dituju. Saya boleh menghasilkan [Ralliart], tetapi ia bergantung pada maklum balas pasaran.”

Yamauchi juga menjelaskan Eclipse Cross tidak akan diberikan lencana Evolution (seperti yang diterima Pajero Evo sebelum ini) walaupun dengan ketiadaan Lancer kerana ia akan melibatkan proses ‘yang sangat jauh’. Ini kerana lencana Evo itu akan membawa kepada penghasilan model sport sebenar.

“Versi Ralliart adalah salah satu opsyen, tetapi tiada perancangan untuk Evolution, kerana Evolution merupakan perkara yang berbeza dari sporty – ia jentera sport sebenar, bukan sekadar sporty,” jelas Yamauchi.

Menurut beliau lagi, undang-undang emisi buat masa sekarang merupakan satu perkara lagi yang perlu diambil perhatian, yang mungkin akan menjadi penghalang kepada penghasilan kuasa lebih tinggi pada sebuah enjin turbo empat-silinder.

“[Untuk versi Ralliart kami mahu] meningkatkan tork, untuk lebih sporty, itu jangkaan saya. Tetapi sudah tentu ekonomi bahan api lebih penting jadi saya tidak pasti arah mana yang betul untuk Eclipse Cross baharu.” kata Yamauchi dan turut membayangkan varian tiga-pintu untuk SUV tersebut turut akan dibina sekiranya permintaan pasaran cukup untuk mengesahkan kerja-kerja kejuruteraan semula boleh dilakukan kepada model berkenaan.