Land Rover Project Hero – Discovery untuk Palang Merah lengkap dengan dron di atas bumbung

Land Rover Project Hero – Discovery untuk Palang Merah lengkap dengan dron di atas bumbung

Selain dari Range Rover Velar, Jaguar Land Rover (JLR) turut membawa sebuah lagi SUV istimewa ke Geneva Motor Show tahun ini. Ianya sebuah Land Rover Discovery 5 yang dibina oleh divisi Special Vehicle Operation (SVO) JLR, digelar Project Hero. SUV yang dibina sebagai kenderaan komunikasi termaju berkenaan dihasilkan khas untuk kegunaan Pertubuhan Palang Merah Austria, dan diharapkan mampu menyelamat lebih ramai nyawa dengan mempercepatkan masa tindak balas dalam satu-satu bencana.

Selain dari dilengkapi dengan variasi peralatan yang diperlukan untuk operasi menyelamat serta perlatan komunikasi radio pelbagai frekuensi, Project Hero turut dilengkapi dengan dron yang ditempatkan pada bumbung, berperanan memberikan gambaran secara langsung dipancarkan terus kepada pasukan tindakan kecemasan.

Dron berkenaan sememangnya amat diperlukan dalam operasi-operasi menyelamat ketika berlakunya bencana seperti tanah runtuh, gempa bumi dan banjir, kerana bentuk muka bumi sesuatu tempat yang ditimpa musibah seperti disebutkan boleh berubah sekelip mata.

Land Rover Project Hero – Discovery untuk Palang Merah lengkap dengan dron di atas bumbung

Jadi, dengan adanya dron ini, para penyelamat dapat menyiasat sesuatu kejadian bencana itu pada jarak yang selamat menerusi paparan dari sudut pandangan mata burung – seperti dron yang dilengkapkan pada mod Defender siri TV Viper yang popular sekitar 90’an dahulu – seterusnya membantu mereka membuat tindakan yang lebih cepat.

Sistem mendarat bersepadu dengan sistem pemusat sendiri serta teknologi pengekalan magnetik (pertama seumpanya di dunia) ditempatkan pada bumbung Projet Hero bagi membolehkan dron mendarat dengan tepat walaupun kenderaan sedang bergerak. SUV ini diberikan warna rasmi Palang Merah, dengan warna putih di bahagian bawah, manakala warna merah pada bumbung, bonet dan juga cermin sisi.

Project Hero masih dijana oleh enjin 3.0 liter TD6, dan ia akan ditempatkan di pusat latihan Pertubuhan Palang Merah Austria, Erzberg, iaitu pada kawasan pergunungan dan perlombongan, dan di Vienna untuk tempoh 12 bulan bermula Jun 2017.

Land Rover telah menyokong operasi Palang Merah sejak 1954, dan telah membekalkan 120 kenderaan kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) bagi digunakan dalam operasi seluruh dunia. “Land Rover dan sepasukan jurutera serta perekabentuk di SVO berbangga untuk memberikan sokongan kepada kerja-kerja kemanusiaan oleh IFRC dan ahli-ahlinya.

“Discovery baharu merupakan SUV untuk pelbagai muka bumi yang hebat, dan Project Hero merupakan kombinasi optimum dari kebolehan yang dipertingkat serta teknologi inovatif. Kami berharap untuk membantu Palang Merah untuk menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan,” kata John Edwards, pengarah urusan JLR SVO.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required