Tamiya, pengeluar permainan dari Jepun, bersama Toyota UK telah menghasilkan video yang agak menarik – mampukah kereta kawalan jauh (RC) Toyota Hilux menarik sebuah Toyota Hilux sebenar dan berapa unit RC yang diperlukan untuk tugas ini?

Menurut Tamiya, idea untuk menghasilkan video ini hadir dari iklan mereka pada era 80’an dahulu yang memaparkan sekumpulan trak RC Tamiya Hilux Bruiser 4X4 membuktikan kekuatan mereka dengan menunda sebuah Hilux sebenar. Walau bagaimanapun, Hilux generasi baharu kini dibina lebih besar dan lebih berat, pastinya lebih menyukarkan tugas kumpulan Hilux kecil berkenaan.

Setiap RC Hilux Bruiser ini mempunyai berat 3.2 kg serta menghasilkan tork maksima 23.2 Nm dan beban yang perlu ditarik ialah Toyota Hliux 2.4 dengan berat 3,200 kg. Dengan gear sistem 4×4 dilaras pada gear nisbah rendah, sejumlah 15 buah RC diperlukan untuk menarik Hilux sebenar berkenaan.

Selain dari video ini, Toyota dan Tamiya turut menghasilkan tiga lagi video berbeza untuk siri ini, yang memaparkan kedua-dua Hilux kecil dan besar tersebut berseronok di laluan lumpur, meredah sungai dan juga menunda kereta sport Toyota GT86.