Proton akan mengumumkan rakan strategik asingnya pada Mei nanti. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan seperti dilaporkan oleh The Star, susulan daripada berita penarikan diri oleh Zhejiang Geely yang didedahkan semalam.

Walaupun Geely tidak lagi berada di dalam senarai sebagai pihak yang berminat, Ong menjelaskan itu bukanlah pengakhiran bagi Proton. Menurutnya lagi, masih ada beberapa lagi pembida ketika ini, dan pengeluar dari China itu bukanlah satu-satunya pihak yang ingin bekerjasama dengan Proton. Beliau juga menambah, kerajaan tidak akan campur tangan di dalam proses membuat keputusan oleh DRB-Hicom.

“Mereka (Proton) kini sedang meneliti keputusan akhir yang akan diambil. Sebagai badan swasta sekarang, kerajaan tidak dapat membantu Proton dalam menentukan keputusannya. Kami hanya boleh mencadangkan arah tuju mana yang sepatutnya diteroka dalam mencari rakan strategik ini,” tambah beliau.

Terdahulu, Ong turut berkata ada kemungkinan Proton akan mengikut jejak Perodua dengan membenarkan rakan strategik untuk memiliki 51% pegangan dalam syarikat. Semalam, South China Morning Post pula melaporkan bahawa Geely sah menarik diri daripada bidaannya terhadap Proton, dan berita itu disahkan oleh presidennya, An Conghui.

Jika mengambil kira hanya ada dua pihak yang berminat dengan Proton sebelum ini seperti yang diketahui umum, penarikan diri Geely akan menjadikan PSA Group sebagai satu-satunya syarikat yang menyatakan minatnya secara terbuka terhdap perkembangan ini.