Nissan telah mengeluarkan sebuah video, Steel to Wheels yang menunjukkan bagaimana model Navara NP300 dibuat di kilangnya di Bangna, Thailand. Kilang ini adalah kilang pertama di dunia yang menghasilkan trak pikap generasi ketiga tersebut dan merupakan hab pengeluaran bagi Nissan Asia dan Oceania (A&O).

Dalam video selama 5 minit ini, anda dapat menyaksikan bagaimana proses menghasilkan Navara, daripada besi mentah, sehinggalah ia menjadi sebuah kereta. Kilang ini mempunyai 1,400 pekerja tempatan dan produk keluarannya dihantar ke 105 pasaran lain di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Di Malaysia, Navara NP300 dilancarkan pada bulan November 2015 dan dijual dalam pilihan single cab dan double cab. Enam varian ditawarkan, bermula dengan single cab manual sebagai yang paling asas. Ia seterusnya diikuti double cab E dan SE, yang boleh didapati dengan transmisi manual dan automatik.

Varian ini dilengkapkan dengan V dan paling atas VL, dan kedua-duanya hanya boleh didapati dengan transmisi automatik sahaja. Semua varian dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo diesel YD25DDTi 2.5 liter, berkemampuan 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm pada 2,000 rpm untuk varian VL dan 163 PS dan 403 Nm untuk varian yang lain.