SsangYong akhirnya mempertontonkan Rexton 2018, yang akan menyertai Tivoli sebagai usaha pengeluar kenderaan Korea Selatan itu untuk memperbaharui identiti jenamanya. Dibangunkan dengan nama Y400, model ini mengambil pengaruh yang sangat kuat dari model LIV-2 Concept yang dipertonton di Paris tahun lalu.

Model baru ini akan menjadi utama dalam barisan kenderaan yang ditawarkan SsangYong, diposisikan di atas Korando dan SUV tujuh-tempat duduk yang dipertonton disamping XAVL Concept di Geneva awal tahun ini. Dari segi dimensi, Rexton memiliki panjang 4,850 mm, 1,920 mm lebar, 1,800 mm tinggi dengan jarak roda 2,865 mm.

Menurut SsangYong, SUV besar ini dibangun berpandukan struktur badan Quad-Frame, menggunakan 1.5 Gpa giga-steel – yang pertama seumpamanya di dunia. Ia juga melibatkan penggunaan 63% besi berkekerasan tinggi termaju (advanced high strenght steel, AHSS) yang memberikan kekuatan tambahan bagi bahagian badan dan dalam masa sama lebih ringan.

Penggayaan luarannya hampir sama dengan model LIV-2 Concept, dengan sedikit perubahan. Gril dengan dengan bentuk hexagonal kini menerima tiga barisan melintang, dan lampu utama kelihatan lebih konvensional. Sementara itu, lampu kabus pula dialih sedikit ke atas di bahagian sisi bampar.

Gambar yang didedahkan hanya menunjukkan model ini dari sudut terpilih dan terhad sahaja. Namun, ia dijangka akan mengikut jejak rekaan yang mirip dengan model konsep yang dipamer di Paris dulu. Begitu juga dengan perincian spesifikasi mekanikal lainnya, masih tidak banyak yang diketahui.

Namun, adalah difahamkan, model ini nanti akan dikuasakan oleh dua pilihan enjin, petrol dan diesel bersih. Ciri AWD dijangka turut akan ditawarkan, memandangkan jenama itu sebelum ini memang sinonim dengan sistem pacuan itu. Antara ciri lain yang disebut-sebut akan melengkapi model ini ialah Apple Carplay, Android Auto, sembilan beg udara, 3D Around View Monitoring (AVM) dan skrin sentuh 9.2 inci HD.