Semalam, pengenalan rasmi bagi model BMW 5 Series G30 sudah pun dilakukan di Malaysia. Di BIMS 2017, ada sebuah lagi model yang dipertonton dan boleh tahan menarik; BMW M760Li xDrive dalam kemasan Exellence.

Ia bukanlah sebuah M7 seperti mana lambang ‘M’ itu digunakan untuk model prestasi M2. Ia bagaimanapun tentang melambangkan versi yang lebih sporty dan pantas bagi 7 Series G12 ini. Ia hanya didatangkan dalam versi “Li”, dengan jarak roda yang lebih panjang. Amerika dan China menjadi pasaran utama bagi 7 Series dalam penampilan ini – lengkap dengan enjin V12.

12 silinder, dan ia kini bukan lagi dengan enjin enam liter, sebaliknya 6.6 liter yang mempunyai pertalian dengan enjin yang digunakan oleh Rolls-Royce, ditala untuk lebih prestasi. Kenapa V12? Kerana ia ingin memberikan kelainan yang tidak dapat diberikan oleh konfigurasi enjin yang lain.

Enjin M Performance TwinPower Turbo V12 yang diguna menghasilkan 610 hp pada 5,500 rpm dan 800 Nm dari 1,550 rpm. Walaupun angka itu kurang daripada kuasa yang dihasilkan oleh Mercedes S65 AMG (630 hp/1,000 Nm), saingan dari BMW ini bagaimanapun lebih pantas dalam kiraan 0-100 km/j dengan bacaan 3.7 saat. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j atau 305 km/j dengan pakej pilihan M Driver.

Binaan keseluruhannya enjin menggunakan blok aluminium. Jurutera memberi tumpuan terhadap memaksimumkan ketahanan dan dalam masa sama, meminimumkan berat. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan automatik yang telah disesuaikan untuk kegunaan enjin V12 berkenaan.

Ia datang dengan ciri-ciri seperti paddle shifter, Launch Control dan mengekalkan gear pada garis merah rpm. Sistem AWD BMW XDrive yang ada pula lebih bias kepada sistem pacuan belakang. Sistem kawalan suspensi Executive Drive Pro dan Integral Active Steering adalah standard.

Model ini juga memberi tumpuan lebih sebagai kereta mewah berbanding prestasi sport. Luarannya, varian Excellence ini tidak menggunakan pakej aerodinamik M, sebaliknya menggunakan pakej rekaan Excellence. Ini termasuk rim 20-inci BMW Individual.

Ringkasnya, ia kelihatan lebih miri kepada imej 7 Series biasa. Jika tidak kerana lambang V12 yang dikenakan pada C-pillar dan penutup but, pasti sukar untuk orang mengecam model ini, kerana semua sisi prestasi dan sportnya diselindung dengan sangat baik. Harganya? 12.499 juta baht (RM1.6 million).