Tesla akhirnya memperkenalkan perisian versi 8.1 bagi sistem Autopilot yang dibangunkannya, yang hanya didatangkan dengan kereta yang dilengkapi peranti Autopilot 2.0. Seperti diumumkan sebelumnya oleh CEO Elon Musk, kenderaan Tesla yang dilengkapi dengan peranti lengkap pemanduan automatik akan mampu menawarkan sehingga tahap 5 pemanduan autonomous melalui kemaskini perisian secara berperingkat.

Autopilot 8.1 adalah satu daripadanya, yang turut dilengkapi ciri Autosteer dengan had kelajuan yang lebih tinggi (dari 89 km/j hingga 129 km/j). Bagaimanapun, Tesla mewajibkan kamera pada kereta untuk diselaraskan sebelum menggunakan Autosteer pada kelajuan yang lebih tinggi, yang dilakukan secara automatik dalam tempoh beberapa hari pemanduan di lebuhraya semasa.

Ciri lain yang turut diperkenalkan ialah Auto Lane Change, sebuah ciri yang sudahpun melengkapi model Tesla yang didatangkan dengan peranti Autopilot generasi pertama. Kemaskini berkenaan termasuk Summon, yang masih dalam fasa beta untuk digunakan dengan ciri Autopark, di mana kereta boleh diarahkan untuk memasuki atau keluar dari ruang parkir garaj yang sempit.