PANDU UJI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI – tetapkan tanda aras baharu untuk saingan SUV segmen-C?

PANDU UJI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI – tetapkan tanda aras baharu untuk saingan SUV segmen-C?

Volkswagen Tiguan generasi pertama mula membuat penampilan sulungnya untuk peringkat dunia pada tahun 2007, dan kemudian masuk ke pasaran Malaysia tahun berikutnya. Ketika mula diperkenalkan di pasaran tempatan, Tiguan hadir dengan varian enjin tertinggi 2.0 liter TSI, dijual pada harga hampir RM250k (varian 1.4 TSI tiba pada tahun 2014 dengan harga RM179k), meletakkan ia dalam saingan SUV mewah.

Namun, dengan trend pasaran SUV sekarang yang dilihat semakin meningkat, sedikit sebanyak telah mengubah strategi pemasaran Volkswagen di Malaysia. VW Tiguan generasi kedua didedahkan pada peringkat global pada tahun 2015 sebagai model 2016, dan telah pun diprebiu untuk pasaran Malaysia pada awal bulan lalu.

Menurut Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM), Tiguan baharu yang dipasang secara CKD hanya ditawarkan dengan enjin 1.4 TSI, dibahagikan pada varian Comfortline dan Highline, dijual dengan harga antara RMRM148,990 hingga RM168,990.

Jika dilihat pada julat harga, untuk varian Comfortline khususnya, Tiguan yang telah dilancarkan pada 5 April lalu kini bakal bersaing secara terus dengan SUV-SUV segmen-C dari Jepun dan Korea yang lebih mampu milik. Untuk memperlihatkan adakah ia relevan dalam saingan, kami bersama media permotoran Malaysia yang lain telah dijemput untuk sesi pandu uji SUV ini, yang berlangsung dari Kuala Lumpur ke Ipoh dua minggu sebelum berlangsungnya majlis pelancaran.

PANDU UJI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI – tetapkan tanda aras baharu untuk saingan SUV segmen-C?

Tiguan generasi baharu ini dibina berasaskan platform modular MQB Volkswagen, iaitu platform yang sama digunakan untuk asas Volkswagen Golf Mk7. Ia diukur dengan dimensi 4,486 mm panjang, 1,839 mm lebar manakala jarak rodanya pula ialah 2,681 mm.

Berbanding model sebelumnya, model baharu ini secara keseluruhannya lebih besar dengan 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan jarak roda 77 mm lebih panjang. Walaupun mempunyai saiz yang lebih besar, Tiguan generasi kedua ini sebenar mempunyai berat keseluruhan 50 kg lebih ringan dari model generasi pertama.

Jika dibandingkan dengan SUV segmen-C paling popular dalam pasaran iaitu Honda CR-V, saiz Tiguan adalah 104 mm lebih pendek, 19 mm lebih lebar, manakala jarak rodanya pula adalah 61 mm lebih panjang. Tiguan juga mempunyai ruang but yang direka 145 liter lebih besar dari sebelum ini, iaitu 615 liter – 26 liter lebih besar dari CR-V.

Berbanding model terdahulu yang direka agak konvensional dengan badan yang agak tinggi, model baharu ini dibina 33 mm lebih rendah – nampak jelas pada bahagian bumbungnya tidak tinggi seperti model sebelum ini, seterusnya memberikan imej yang lebih sporty, tajam dan juga kelihatan seperti sebuah hatchback.

Pada bahagian luaran, varian asas Comfortline hanya diberikan lampu halogen biasa, gril hadapan dengan kemasan krom pada tingkat atas serta rel bumbung berwarna hitam. Untuk varian Highline, ia dilengkapi dengan lampu hadapan LED lengkap dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam bersama sistem Dynamic Conering Assist. Gril hadapan varian tertinggi ini juga diberikan salutan krom yang lebih pada jalur tingkat atas, dan kemasan krom turut diberikan pada bahagian atas dan bawah lampu utama, memberikan imej lebih moden pada bahagian tersebut.

Highline juga diberikan rel bumbung yang lebih menyerlah berwarna perak, dan pintu tailgate model ini juga diberikan bantuan kuasa serta boleh dibuka menggunakan suis kawalan jauh pada kunci. Varian Comfortline menerima rim ‘Montana’ 17-inci dibaluti tayar Falken Ziex bersaiz 215/65R17, manakala Highline pula diberikan rim ‘Kingston’ 18-inci disalut tayar Hankook bersaiz 235/55R18. Walau bagaimanapun, dengan rekaan jejari yang hampir sama pada kedua-dua jenis rim berkenaan membuatkan ia agak sukar untuk dibezakan sekiranya dilihat dari jauh.

Masuk kebahagian kabin, Comfortline menampilkan upholsteri fabrik ‘Rhombus’ serta kemasan-kemasan aloi pada papan pemuka dan juga panel-panel pintu. Ia turut diberikan lampu dan pengelap cermin automatik, pedal penukar gear pada roda stereng (kulit, pelbagai fungsi dan rata di bawah) serta unit infotaimen dengan skrin sesentuh lapan-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara. Ia masih diberikan paparan meter analog bersama paparan pelbagai informasi berwarna pada bahagian tengah.

Untuk varian Highline pula diberikan upholsteri kulit ‘Vienna’ serta kemasan dengan grafik karbon pada papan pemuka dan panel pintu. Ia diberikan skrin utama bersaiz sama tetapi diberikan sistem navigasi. Sistem infotainmen pada varian Highline ini juga boleh menyokong fungsi App-Connect yang memberikan hubungan Apple Carplay dan Android Auto, tetapi ditawarkan secara opsyen dengan harga promosi RM699 (harga asal RM1,099).

Perbezaan utama pada varian Highline ini adalah pada paparan informasinya yang menggunakan paparan digital sepenuhnya Active Info Display dengan skrin bersaiz 12.3-inci seperti yang terdapat pada Passat B8. Istimewa pada skrin informasi pada Tiguan ini, ia diberikan mod paparan off-road yang memberikan paparan sudut pusingan stereng pada bahagian kiri dan kompas pada bahagian kanan.

Ciri tambahan lain yang diberikan pada varian tertinggi ini termasuk sistem penghawa dingin tiga-zon (kawalan berasingan pada kabin belakang), sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta Bantuan Parkir 3.0 yang mampu memarkir SUV ini secara automatik sama ada pada kedudukan selari atau menegak.

Kedua-dua varian ini sememangnya berbeza pada berberapa ciri, tetapi kualiti material pada kedua-dua varian ini adalah sama – menawarkan material soft touch serta lebih solid pada kebanyakkan komponen, membezakan tahap premiumnya dengan pesaing-pesaingnya dari Jepun. Kedua-dua varian ini juga hadir dengan brek parkir elektronik yang lengkap bersama fungsi auto hold.

Tahap NVH Tiguan juga berada pada paras yang memuaskan – tipikal sebuah Volkswagen. Namun sedikit bunyi angin dapat didengari pada kedua-dua bahagian cermin sisi SUV ini bermula pada kelajuan 110 km/j. Ia bukan bunyi angin yang bocor ke kabin, tetapi sebenarnya bunyi ‘potong angin’ yang terjadi pada ruang antara badan kereta dan juga cermin sisi berkenaan. Agak jelas jika mendengarnya buat pertama kali, tetapi ia tidak lagi janggal setelah berberapa ketika dan tidak kedengaran sekiranya sistem audio diaktifkan.

Walaupun Tiguan dilihat mempunyai kelebihan pada saiz, namun lantai Tiguan masih tidak direka rendah seperti CR-V. Apa kelebihan lantai yang rendah untuk sebuah SUV? Pertama, ia lebih mudah untuk penumpang keluar dan masuk ke kabin, dan kedua barang yang berat mudah untuk diangkat masuk ke ruang but belakang menerusi pintu tailgate, sekaligus memberikan praktikaliti yang sangat baik.

Tetapi, kabin Tiguan ini tetap mempunyai ciri uniknya tersendiri di mana tempat duduk penumpang hadapan boleh dibaringkan sehingga rata ke hadapan, membolehkan kabin diisi dengan muatan yang benar-benar panjang – contohnya tangga lipat. Di belakang tempat duduk hadapan juga diberikan meja lipat seperti pada kabin kapal terbang, lengkap dengan pemegang cawan yang boleh disorokkan.

Saiz yang dipaparkan di atas kertas jelas ditunjukkan pada bahagian belakang kabin Tiguan. Ia memberikan ruang lutut yang cukup baik dan selesa, membolehkan meja lipat boleh digunakan dengan sempurna. Walaupun dengan bumbung yang lebih rendah, ia sama sekali tidak mengorbankan langsung ruang kelegaan kepala. Dan unit penghawa dingin belakang yang bukan sahaja sekadar corong (boleh dikawal berasingan sepenuhnya dari sistem hadapan) pastinya memberikan keselesaan mutlak pada bahagian ini.

Perbezaan Tiguan dari SUV Asia turut dilihat pada unit janakuasa. Berbanding Honda CR-V, Nissan X-Trail, Mazda CX-5, Kia Sportage, dan juga Hyundai Tucson yang cenderung untuk menggunakan enjin NA 2.0 liter, Tiguan diberikan enjin turbo dengan kapasiti kecil iaitu 1.4 liter TSI.

PANDU UJI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI – tetapkan tanda aras baharu untuk saingan SUV segmen-C?

Enjin yang sama menjana Jetta facelift ini mampu menghasilkan kuasa 150 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 250 Nm, dipadankan bersama kotak gear DSG enam-kelajuan dengan klac basah, memacu roda hadapan.

Disebabkan enjin ini hanya menggunakan sebuah pengecas turbo (tiada lagi bantuan superchager untuk rpm rendah seperti enjin TSI sebelum ini), turbo lag jelas terasa sekiranya anda memijak pedal pendikit secara agresif jika memecutnya dari kedudukan pegun. Tetapi lag berkenaan tidak lagi muncul sekiranya anda memecut SUV ini dalam keadaan sedang bergerak – ketika memecut untuk memotong misalnya.

Dengan tork 250 Nm, karekter SUV ini jelas berbeza daripada saingan-saingannya. Kebanyakan SUV segmen-C dengan enjin 2.0 liter NA pastinya terasa agak berat ketika memecut dari kelajuan sekitar 70-80km/j hingga 130-140 km/j, dan memerlukan gear rendah bagi mendapatkan raungan rpm tinggi untuk mencapai tork puncak.

Ini tidak terjadi pada Tiguan kerana ia mampu membekalkan tork maksima bermula 1,500 rpm hingga 3,500 rpm, dan pecutan lancar tanpa rasa ‘malas’ serta responsif seperti sebuah kereta ketika tujahan agresif diberikan pada pedal pendikit. Namun, janganlah pula anda berharap kuasa dan daya-G yang diberikan sama seperti yang dapat dialami seperti memandu Jetta atau Golf kerana Tiguan masih lagi sebuah SUV keluarga dengan saiz roda yang besar.

PANDU UJI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI – tetapkan tanda aras baharu untuk saingan SUV segmen-C?

Ketika memandu di lebuhraya, saya hampir terlupa Tiguan dibekalkan dengan pedal penukar pada stereng kerana gear yang betul sentiasa diberikan pada setiap masa, dengan karekter DSG itu sendiri yang sudah terkenal dengan tukaran gear yang sangat cepat dan responsif. Tetapi ketika memandu dijalan berliku, pedal gear berkenaan memberikan lebih hiburan dengan membolehkan pemandu bermain dengan engine braking seperti menggunakan gear manual sebenar.

Pakej prestasi pada Tiguan ini bukan hanya pada kuasanya sahaja, ia turut disokong oleh sistem dan talaan suspensi SUV ini. Daya olengan pada Tiguan ini begitu minima ketika melalui selekoh, jauh lebih baik dari SUV-SUV dari Jepun – benar-benar terasa seperti sebuah kereta. Namun perlu diingatkan sekali lagi, jangan pula anda andaikan olengannya pada tahap sehebat Golf GTI.

Dinamik pengendaliannya juga cukup baik. Ia agak neutral tanpa kecenderungan untuk understeer, agak lincah ketika mengubah haluan pada selekoh S serta pergerakannya agak mudah untuk diagak. Tetapi sedikit kekurangan dirasakan pada stereng Tiguan ini kerana sistem EPS padanya ditala agak ringan, memberikan respon yang kurang terhadap permukaan jalan.

PANDU UJI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI – tetapkan tanda aras baharu untuk saingan SUV segmen-C?

Satu lagi kelebihan kenderaan-kenderaan dari Eropah berbanding buatan Jepun atau Korea adalah tahap ‘solid’ sistem suspensi dan kerangkanya – yang mampu mengekalkan keselesaan walaupun dengan talaan yang sporty. Begitu juga pada Tiguan, keselesaannya masih ditahap memuaskan walaupun pengendaliannya tiada olengan seperti sampan. Tetapi tahap keselesaan berkenaan masih tidak berada pada tahap seperti Hyundai Tucson, dan terdapat lagi rasa sedikit lambungan ketika memandu pada permukaan beralun.

Volkswagen tidak berkompromi untuk soal keselamatan di mana kedua-dua varian Comfortline dan Highline diberikan ciri keselamatan yang sama iaitu enam-beg udara, Driver Alert System, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), ABS bersama bantuan brek dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

Bagi mereka yang berkira-kira untuk membeli kereta baharu, faktor penyelenggaraan turut diambil kira bukan? Untuk Tiguan, ia perlu diservis setiap 15,000 km atau setahun sekali (yang mana sampai dahulu). VPCM juga melindungi setiap kereta baharu Volkswagen dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan. Lima warna berbeza ditawarkan untuk Tiguan iaitu Deep Black, Pure White, Atlantic Blue, Indium Grey dan Tungsten Silver. Khas untuk pembeli terawal, VPCM turut menawarkan potongan harga sebanyak RM7,000.

Volkswagen Tiguan generasi baharu mungkin menawarkan ciri-ciri lebih baik berbanding pesaing-pesaing dalam kelasnya. Varian asas Comfortline, walaupun tanpa lampu hadapan LED yang canggih dan juga upholsteri balutan kulit, prestasi enjin TSI dan transmisi DSG serta pengendalian yang mantap sudah cukup untuk memberikan keseronokan yang lebih berbanding SUV 2.0 liter NA dengan aksesori penuh jenama Jepun dan Korea. Bagi mereka yang mahukan ciri dan penampilan yang lebih up to date, tambahan sekitar RM20k diperlukan untuk pilihan varian Highline.

Tetapi adakah ia bakal menjadi ‘game changer‘ dalam segmen SUV segmen-C mampu milik? Seperti biasa, selain prestasi, kredibiliti jenama, nilai jualan balik dan kos penyelenggaraan selepas habis waranti turut diambil kira oleh pembeli di Malaysia. Tambahan pula, ‘permainan’ tahap baharu ini masih lagi dalam peringkat awal, dan sebenarnya baru sahaja bermula.

Honda CR-V generasi kelima sudah pun dilihat sedang diuji di Malaysia dan dijangka bakal diperkenalkan tahun ini – bakal hadir dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Hyundai Tucson juga perlu diberikan perhatian kerana Hyundai-Sime Darby Motors telah pun membuat prebiu model yang dijana enjin 1.6 liter Turbo-Direct Gasoline Injection (T-GDI) berkuasa 177 PS/265 Nm dan disahkan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

GALERI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Highline

GALERI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Comfortline

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Hirwan on Jan 08, 2019 at 9:36 am

    Adakah tiguan yg guna sistem gear DSG ini sesuai diguna dalam keadaan jalan jem setiap hari yg memakan masa perjalanan ke tmpat kerja selama 1 jam sehala.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required