Awal Februari lalu, Subaru Legacy 2018 telah pun dipamerkan di Chicago Auto Show, yang ditampilkan dengan imej luaran yang lebih sporty dan bergaya, meminjam pendekatan rekaan luaran yang sama dengan model Impreza terkini.

Terbaru, Subaru turut mendedahkan, model Outback 2017 juga akan ditampilkan dengan imej yang dipertingkatkan dan bakal dipamerkan di New York International Auto Show (NYIAS) yang akan membuka tirainya minggu hadapan. Seperti mana Legacy, Outback 2018 ini juga menerima peningkatan luaran dan dalaman yang lebih segar.

Selain menampilkan gril haksagon yang lebih lebar, ia juga menerima padanan lampu utama yang direka semula dengan lampu nyalaan siang LED “Konoji” berbentuk-C, bersama bampar hadapan yang diprofil bagi memberikan perlindungan tambahan daripada lumpur dan batu. Malah ia turut didatangkan dengan roda aloi 17-inci secara standard, manakala model Limited dan Touring dengan saiz 18-inci.

Di dalamnya, lebih banyak material premium diberikan, malah konsol tengahnya turut direka semula dan roda stering pula lebih sporty. Papan pemuka dengan jahitan kekemasan Premium, juga pada panel pintu dan tempat duduk untuk Limited dan Touring. Malah kedua-dua varian berkenaan turut menerima kekemasan hitam berkilat dan perak pada bingkai kawalan. Skim warna dalaman kelabu juga diberikan sebagai opsyen, selain hitam dan putih susu.

Lain-lain perubahan termasuklah pendingin hawa, yang mampu menyejukkan ruang kabin dengan lebih pantas dan mengendalikan suhu dalaman secara lebih efektif. Sebagai tambahan, kuasa dalaman akan bertahan seketika apabila enjin telah dimatikan.

Selain itu, ia juga menampilkan sistem infotaimen Starlink terkini dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Unit asas 6.5-inci kini lebih besar, sementara sistem 8.0-inci dengan CPU yang lebih pantas bagi menambah ‘startup speed’ dan navigasi TomTom. Kawalan suara juga ditambahbaik menerusi mikrofon berkembar, di mana pemandu boleh menggunakan arahan Apple Siri atau OK Google secara lebih mudah.

Bagi keselamatan, Outback kini menerima Brek Undur Automatik (RAB) dengan amaran bunyi dan visual, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera undur standard dengan panduan stereng dan pilihan lampu utama adaptif. Bantuan Mula Mendaki juga kini didatangkan secara standard.

Sementara itu, bagi pakej EyeSight, yang merangkumi kawalan kelajuan adaptif, brek pra-pelanggaran, amaran penukaran lorong, bantuan kekal lorong dan pemantauan titik buta dengan bantuan menukar lorong turut ditawarkan secara opsyen.

Turut ditampilkan welcome lighting, pengunci pintu auto, cagak ISOFIX yang dipertingkatkan dan Starlink Safety Plus bagi kecemasan, percuma untuk tahun pertama dan RS$99 (RM440) bagi tahun berikutnya.

Bahagian mekanikalnya masih kekal seperti sebelum ini iaitu enjin 2.5 liter empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 175 hp pada 5,800 rpm dan tork 235 Nm pada 4,000 rpm, atau 3.6 liter enam-silinder dengan kuasa 256 hp pada 6,000 rpm dan tork 334 Nm pada 4,400 rpm. Ia juga dipadankan dengan Lineartronic CVT bersama mod tujuh-kelajuan baharu dan pedal penukar gear yang kekal standard, dengan respons yang lebih lancar hasil ECU yang dipertingkatkan.

Turut ditampilkan sebagai standard ialah sistem Symmetrical All-Wheel Drive dari Subaru sendiri dengan Active Torque Vectoring dan X-Mode, yang mampu memberikan pengendalian lebih optimum dengan posisi nisbah CVT dan kuasa enjin serta meningkatkan lagi pacuan semua roda dan memantapkan lagi sistem kestabilan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC). Sistem ini juga mengaktifkan Kawalan Menurun Bukit.

Lain-lain kemaskini yang ditampilkan termasuklah rantai dengan jarak mata yang sangat pendek pada sistem CVT bagi model 2.5 liter, serta pemasaan enjin yang telah dilaraskan. Cermin luaran, penebat bunyi bagi cermin tingkap hadapan juga telah dibentukkan semula, serta pelindung roda belakang yang lebih tebal.

Sementara itu, bahagian peredam juga telah ditala semula untuk pengendalian yang lebih lancar, roda stereng kuasa elektrik juga lebih responsif dan pedal brek yang lebih utuh.