New York International Auto Show 2017 sudah semakin hampir dan Dodge mengeluarkan satu lagi video teaser berkenaan kereta Challenger SRT Demon, selepas beberapa video lain sebelum ini. Dalam video yang terbaru ini, kereta tersebut ditunjukkan boleh menggunakan sama ada minyak lumba 100+ octane ataupun minyak biasa 91 octane. Dodge mendakwa mereka adalah pengeluar pertama yang menawarkan mod ini pada kereta biasa.

Walaupun begitu, pemilik Challenger SRT Demon perlu melakukan beberapa perkara sebelum boleh melakukannya, iaitu memasang modul pengawal enjin (PCM) yang telah dikalibrasikan untuk minyak oktana tinggi dan suis khas untuk mengaktifkannya. Barangan ini disediakan dalam kotak Demon Crate yang akan diberi kepada semua pembeli kereta tersebut.

Dalam mod oktana tinggi, enjin Challenger SRT Demon boleh beroperasi dalam pemasaan yang lebih agresif, seterusnya memberikan pelumba drag “perubahan besar dalam catatan masa.” Menurut Dodge lagi, campuran minyak oktana tinggi dengan minyak buasa tidak akan merosakkan enjin Demon, tetapi sistemnya akan menutup mod tersebut sekiranya jumlah oktana terlalu rendah.

Apabila perkara tersebut dikesan, satu mesej akan dipaparkan pada panel instrumen, memberitahu pemandu bahawa kalibrasi tertentu akan digunakan, sehingalah enjin ditutup dan dihidupkan semula. Jika dibandingkan dengan Hellcat, Demon akan menggunakan dua pam minyak dan injector yang lebih besar.