Selepas harga bahan api petrol bagi minggu lalu naik 3 sen (RON 95) dan 2 sen (RON 97) berbanding minggu sebelumnya, trend yang sama diteruskan untuk minggu ketiga April 2017. Bermula tengah malam ini, semua bahan api – petrol dan diesel – akan menerima kenaikan sebanyak lapan sen, kecuali RON 97 yang naik sebanyak 9 sen, sehingga Rabu minggu depan.

Ini menjadikan harga terbaru bahan api di stesen minyak sepanjang minggu depan adalah seperti berikut; petrol RON 95 akan dijual RM2.24 seliter, manakala RON 97 pula naik sembilan sen, dijual pada harga RM2.52 seliter. Bagi harga diesel pula, versi Euro 2M akan dijual RM2.16 seliter, manakala bagi diesel Euro 5 dijual pada harga RM2.26 seliter.

Minggu lalu, harga diesel turun tiga sen berbanding minggu pertama April, iaitu pada kadar RM2.08 seliter. Semalam, Menteri KPDNKK memaklumkan harga bahan api akan naik jika harga minyak diperingkat global juga meningkat akibat faktor geopolitik semasa.