Honda tidak melepaskan peluang mempamerkan model baharunya termasuklah varian terkini bagi CR-V generasi kelima – CR-V Hybrid – di pentas Auto Shanghai 2017 yang telah membuka tirainya. Walau bagaimana pun, perincian penuh mengenai SUV mesra-alam ini masih belum diperoleh, namun Honda berkata, model hibrid ini akan dijual di pasaran China pada separuh kedua tahun 2017 oleh Dongfeng Honda (tidak dinyatakan adakah ia juga akan dipasarkan ke negara lain).

Malah CR-V Hybrid ini juga dikatakan bakal dilengkapi dengan sistem hibrid dua-motor Honda Sport Hybrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive), yang lebih kurang sama seperti pada Accord Hybrid. Pada sedan segmen-D itu, enjin petrol 2.0 liter empat-silinder i-VTEC Atkinson-cycle mampu menghamburkan kuasa sehingga 145 hp dan 175 Nm.

Enjin pembakaran dalaman ini juga dipadankan bersama motor elektrik (dikuasai oleh pek bateri 1.3 kWh lithium-ion) dengan kuasa 184 hp dan 315 Nm. Menjadikan kuasa keseluruhan mencapai 215 hp, bersama E-CVT, dan empat mod pemanduan turut ditampilkan.

Bergantung pada pasaran, CR-V juga kini ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol iaitu 2.4 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder atau 1.5 liter pengecas turbo DOHC VTC empat-silinder. Bagi CR-V pasaran Thailand, ia turut menawarkan pilihan enjin 1.6 liter DOHC i-DTEC turbodiesel. Kesemua enjin dipadankan bersama CVT (kecuali pada diesel yang menerima kotak gear automatik konvensional Zf sembilan-kelajuan), dan boleh didapati dalam varian pacuan roda-hadapan atau semua-roda.

CR-V Hybrid juga didatangkan dengan “pelbagai elemen penuh” termasuk Honda Sensing bagi teknologi bantuan pemandu dan keselamatan termaju. Ini termasuklah sistem seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Collission Mitigation Braking System (CMBS), Road Departure Mitigation (RDM) dengan Lane Departure Warning (LDW) dan Lane Keeping Assist System.

GALERI: Honda CR-V 2.4L i-VTEC E 2WD di Bangkok Motor Show 2017