BMW M550d xDrive – 4 turbo, diesel, 400 hp/760 Nm

BMW M550d xDrive – 4 turbo, diesel, 400 hp/760 Nm

BMW telah memperkenalkan satu lagi varian kepada 5 Series G30 iaitu M550d xDrive – sebuah model M Performance yang ditawarkan dalam bentuk badan Sedan dan Touring (seperti dalam gambar). Menurut BMW, model berprestasi alternatif kepada M550i xDrive ini menggunakan “enjin diesel enam silinder paling berkuasa di dunia, dalam dunia automotif.”

Enjin enam silinder sebaris 3.0 liter yang digunakan menampilkan TwinPower Turbo Technology, lengkap dengan empat pengecas turbo. Dua turbo tekanan rendah pada enjin ini adalah baru, dan ia menggantikan pengecas turbo ketiga bersaiz besar yang digunakan sebelum ini.

Kedua-dua unit pengecas turbo ini, bersama satu daripada turbo tekanan tinggi digunakan sepanjang masa sewaktu bergerak, manakala satu lagi turbo bertekanan tinggi hanya beroperasi apabila enjin bergerak lebih daripada 2,500 rpm. Hasil daripada pengecasan turbo berperingkat ini, anda akan mendapat 400 hp pada 4,400 rpm dan 760 Nm tork daripada 2,000 rpm. Ini adalah 19 hp dan 20 Nm lebih berbanding model sebelum ini.

BMW M550d xDrive – 4 turbo, diesel, 400 hp/760 Nm

Kuasa disampaikan kepada semua empat tayar melalui transmisi sport Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive. Dari aspek prestasi, M550d xDrive boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 4.4 saat (versi Touring mencatat 4.6 saat), dan mencecah laju maksimum 250 km/j (dihadkan secara elektronik).

Melihat kepada penggunaan bahan api, kereta ini boleh menggunakan sehingga 5.4 liter bagi setiap 100 km manakala emisi CO2 pula berada pada tahap paling rendah 142 g/km. Jumlah ini menandakan penurunan sebanyak 11% berbanding model generasi sebelumnya.

Sama seperti M550i, M550d ini datang dengan suspensi sport M dan pengurangan 10 mm pada tingginya berbanding 5 Series biasa. Ini kemudiannya dipertingkatkan lagi dengan pilihan tambahan pek Adaptive M Suspension Professional, yang boleh mengawal tindak balas penyerap untuk pemanduan dinamik.

BMW M550d xDrive – 4 turbo, diesel, 400 hp/760 Nm

Dari aspek gaya pula, M550d dipasang dengan pakej aerodinamik M, manakala pelindung cermin sisi, keliling gril dan corong udara semuanya dikemaskan dengan warna Cerium Grey metalik.

Perincian lain yang terdapat pada kenderaan ini adalah sistem ekzos spesifik M Performance dengan dua muncung berwarna krom gelap dan angkup brek yang dicat dengan warna biru metalik bersama tulis M di atasnya. Roda asal untuk model ini adalah rim aloi Double Spoke 664 M 19 inci berwarna Cerium Grey dengan tayar saiz 245/40 di hadapan dan 275/35 di belakang.

BMW juga menawarkan dua pilihan rim 20 inci – Double Spoke Design 668 M atau VSpoke Design 759 Bicolor, dan kedua-duanya dipadankan dengan tayar 245/35 di hadapan dan 275/30 di belakang.

Pada bahagian dalam, bahagian tepi pintu diletakkan dengan lencana M550d yang boleh menyala dan pemilik akan dapat menikmati barangan M lain seperti pedal, perehat kaki, roda stereng kulit dan panel instrumen khas. Turut disediakan adalah pilihan tempat duduk sports M kulit Dakota atau padanan fabrik dan Alcantara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required