Divisi prestasi tinggi BMW M membuat jangkaan bahawa kotak gear manual konvensional tidak lagi akan ditawarkan dalam masa enam hingga tujuh tahun dari sekarang. Perkara ini disebut oleh naib-presiden BMW M, Peter Quintus kepada media Asia Pasifik termasuk paultan.org ketika berlangsungnya acara BMW M Experience 2017 di Incheon, Korea Selatan.

Menurut Quintus, kekurangan permintaan terhadap transmisi berkenaan serta daya tahannya untuk menerima tork besar yang terhad merupakan antara sebab mengapa kotak gear manual akan secara perlahan lenyap dari pasaran. Beliau turut mendedahkan hanya 10% kereta yang dijual menggunakan transmisi manual dan 40% daripadanya dijual di pasaran Amerika Syarikat.

Untuk tork pula, kotak gear manual hanya boleh bertahan pada kadar 600 Nm, dan tidak mampu menerima tujahan lebih daripada itu. BMW M4 CS yang telah diprebiu pada acara M sebelum ini dan membuat kemunculan sulungnya di Auto Shanghai minggu lalu dijana oleh enjin berkuasa 460 hp dan tork maksima 600 Nm.

Transmisi manual yang lebih tahan lasak perlu dibangunkan, tetapi agak sukar untuk mendapatkan dana memandangkan permintaan terhadap kotak gear berkenaan agak sedikit. “Malangnya, saya tidak rasa transmisi manual mempunyai masa hadapan,” kata Quintus dan menjangkakan ia hanya akan berada dalam pasaran dalam masa enam hingga tujuh tahun dari sekarang.

Wakil Drive dari Australia menimbul persoalan kepada Quintus berkenaan kereta-kereta American Muscle yang dijana enjin V8 dengan tork lebih dari 600 Nm, dan beliau menjawab, “kami telah melihat kotak gear dari Amerika Syarikat. Kami dapati transmisi tersebut adalah berat dan memberikan tukaran gear yang teruk.”

“Saya juga tidak pasti adakah model generasi seterusnya M3 dan M4 dari BMW akan diberikan pilihan kotak gear manual,” kata Quintus lagi. Beliau juga mendakwa nasib yang sama mungkin akan menimpa transmisi klac berkembar automatik (DCT). Ketika memberi jawapan kepada Drive, Quintus mendakwa kotak automatik konvensional (AT) merupakan masa hadapan dalam teknologi transmisi.

“Lebih persoalan ditimbulkan berkenaan berapa lama DCT akan digunakan. Berapa lama lagi ia akan bertahan? Buat masa sekarang kami melihat kepada transmisi automatik dengan sembilan dan juga sepuluh-kelajuan, jadi lebih banyak teknologi dalam transmisi automatik moden. DCT mempunyai dua kelebihan: ia ringan dan memberikan kelajuan tukaran gear yang lebih tinggi. Sekarang, banyak kelebihan tukaran gear lebih pantas telah lenyap kerana transmisi automatik kini lebih baik dan lebih bijak,” kata Quintus.

Jadi, bagi mereka yang lebih gemarkan kotak gear manual atau karekter dari transmisi DCT, bersedialah untuk kehilangan kedua-dua jenis transmisi ini dalam pasaran pada masa akan datang.

GALERI: BMW M4 CS