Jika diperhatikan sekarang ini, Nismo tiada model berprestasi tinggi untuk pasaran awam yang cukup kuat melainkan GT-R Nismo yang mempunyai kuasa 600 hp. Selain daripada model ini, Nismo hanya mengeluarkan versi yang dinaik taraf bagi 370Z, Juke, Note, Sentra (Sylphy), dan paling pelik, Patrol.
Tetapi sebenarnya, Nissan mahu melakukan lebih lagi, dan syarikat itu mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaan berkaitan kenderaan jalanan yang dijalankan oleh Nismo ke segmen baru, menawarkan produk kepada lebih banyak pasaran di dunia dan menambah jumlah model di pasaran sedia ada seperti Jepun, Eropah, Amerika Utara dan Timur Tengah. Harapannya, ini dapat membantu Nismo meningkatkan jualan berbanding 15,000 unit setahun sekarang.
Untuk itu, pengeluar dari Jepun tersebut telah mewujudkan satu bahagian yang digelar sebagai Nismo Cars Business Department, yang akan menjadi sebahagian daripada jenama Autech mereka sendiri yang menghasilkan kenderaan ubah suai khas. Menurut Nissan, ini membolehkan mereka untuk merancang dan menghasilkan produk yang lebih menarik dalam selang masa yang pendek.
“Sebagai satu lagi jenama di bawah Nissan, Nismo akan berkembang bersandarkan nilai daripada kenderaan Nismo,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Nismo dan Autech, Takao Katagiri. “Dengan gabungan kepakaran syarikat di bawah kumpulan Nissan, kenderaan jalanan Nismo akan membuatkan pelanggan lebih menikmati kenderaan Nissan mereka.”
Selain membantu Nismo mengembangkan barisan kenderaan mereka, cabang perniagaan baru ini juga akan melibatkan pemasaran syarikat, yang akan termasuk perletakan kenderaan Nismo di pusat pameran dan pengedar Nissan, serta pelbagai aktiviti lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.