Bagi ujian terkini yang dijalankan, Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) telah memberi penarafan lila-bintang buat Honda Civic Sedan dan Civic Hatchback. Di mana nilai keselamatan bagi Civic Hatch adalah berdasarkan ujian pelanggaran bagi Civic Sedan, dan boleh digunapakai untuk semua varian kecuali Civic Type R.

Civic berjaya memperoleh 14.57 daripada 16 mata penuh bagi ujian pelanggaran hadapan, dan 14.93 daripada 16 mata bagi ujian impak sisi. Dengan memiliki pengingatan tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk, kenderaan segmen-C ini menerima markah keseluruhan sebanyak 34.68 daripada 37 mata penuh, membolehkannya menerima penarafan lima-bintang.

Bagi elemen keselamatan standard, Civic spesifikasi Australia dilengkapi dengan enam beg udara (pemandu dan penumpang, sisi hadapan, hadapan dan tirai belakang), kawalan kestabilan elektronik (ESC), ABS dengan EBD dan bantuan brek. Ia sama dengan Civic yang dijual di Malaysia, sama ada bagi varian asas 1.8 S hinggalah yang tertinggi 1.5 TC-P.

Walau bagaimana pun, varian terpilih bagi Civic di Australia juga dilengkapi dengan brek kecemasan sendiri (AEB), pemantauan titik buta (BSM), sistem sokongan lorong (LSS) dan kawalan kelajuan adaptif.