Lotus 3-Eleven secara rasmi diperkenalkan di Malaysia

Lotus 3-Eleven secara rasmi diperkenalkan di Malaysia

Serentak dengan pelancaran model Evora Sport 410 hari ini, Lotus turut menyerahkan sebuah dari dua unit Lotus 3-Eleven untuk pelanggannya di Malaysia. Model yang dibina hanya 311 unit setahun untuk pasaran global ini juga merupakan kereta sport produksi terpantas yang pernah dihasilkan oleh Lotus.

Kereta yang dihasilkan untuk fokus kepada prestasi litar ini dibina dengan hanya satu tempat duduk, tiada cermin hadapan dan tiada bumbung. Dua varian ditawarkan iaitu Road yang sah digunakan di jalan raya awam dan model litar sepenuhnya iaitu Race. Hanya versi Road diserahkan untuk pelanggan pada majlis hari ini, dijual pada harga RM640,855, manakala untuk Race, Lotus hanya menyediakannya bagi mereka yang mahu berlumba dilitar secara sah.

Walaupun menampilkan rekaan luaran yang begitu agresif, Lotus mendakwa rekaan yang diberikan adalah berfungsi sepenuhnya bagi meminimakan pekali geseran serta mengoptimakan sistem penyejukkan. Dengan penggunaan material komposit sangat ringan membolehkan 3-Eleven ini dibina 40% lebih ringan dari model 2-Eleven sebelumnya. Sayap belakang bersaiz besar turut diberikan secara standard untuk kedua-dua varian.

Lotus 3-Eleven secara rasmi diperkenalkan di Malaysia

Pada bahagian dalaman, 3-Eleven turut menampilkan imej sebuah kereta litar sebenar. Tiada pintu direka untuk masuk bahagian kabin dan ia diberikan kluster instrument perlumbaan TFT yang bleh diubah dari mod biasa ke mod litar. Bar pelindung turut diberikan untuk kedua-dua model, yang bukan sahaja dibina untuk keselamatan pemandu, malah turut memberikan lebih ketegaran pada casis kereta ini – versi Race turut diberikan bar tambahan bagi memenuhi undang-undang perlumbaan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, pelanggan masih boleh memasang tempat duduk penumpang yang ditawarkan secara opsyen. Untuk versi Race, ia diberikan tempat duduk perlumbaan spesifikasi FIA lengkap dengan tali pinggang keledar perlumbaan enam poin, pemadam api dan juga kill switch untuk mematikan sumber elektrik dari bateri.

3-Eleven dijana oleh enjin 3.5 liter V6 supercharged yang sama pada Evora Sport 410, menghasilkan 410 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 410 Nm bermula 3,500 rpm hingga 6,500 rpm. Walau bagaimanapun, versi Race diberikan talaan berbeza, menghasilkan kuasa 460 hp dan tork maksima 525 Nm.

Model Road diberikan kotak gear nisbah rapat enam-kelajuan, manakala untuk Race, ia diberikan transmisi enam-kelajuan sequential secara standard serta pedal penukar gear pada stereng dibekalkan sebagai opsyen. Kedua-dua varian ini diberikan LSD pada gandar belakang secara standard.

Secara keseluruhan, berat kering 3-Eleven versi Road ditimbang hanya 925 kg dan Race pula hanya 900 kg. Ini memberikan nisbah berat kepada kuasa lebih 500 hp/tan (untuk versi Race). Oleh itu, 3-Eleven Road mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 290 km/j, manakala Race pula berupaya memecut pada jarak sama dalam masa tidak sampai tiga saat dan kelajuan maksima dicatatkan pada 280 km/j (10 km/j lebih perlahan kerana kit aero yang lebih agresif).

Keempat-empat sudut kereta ini diberikan suspensi double wishbone dengan struktur binaan ringan. Ia turut menampilkan suspensi boleh laras sepenuhnya dari Öhlins digandingkan bersama spring Eibach serta bar anti-oleng boleh laras pada bahagian hadapan. Jentera ini dihentikan dengan cakera brek bersaiz 332 mm bersama angkup brek empat-omboh dari AP Racing.

3-Eleven diberikan rim aluminum-forged bersama tayar Michelin Pilot Super Sport tbersaiz 225/40 ZR18 pada bahagian hadapan dan 275/35 ZR19 pada bahagian belakang. Model Race bagaimanapun menerima tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih mencengkam bersama pad brek lebih berprestasi tinggi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required