Pusingan ketiga Malaysia Speed Festival (MSF) akan berlangsung di Litar Sepang 21 Mei ini, tetapi pada hari sebelumnya akan terdapat satu acara catatan masa terpantas MSF MegaLap Time Attack Series, pusingan pertama. Dalam pusingan ini, anda akan dapat menyaksikan kereta jalanan ubah suai terpantas cuba mencatat masa terbaik dalam satu pusingan flying lap.

Antara yang akan bersaing adalah Mercedes-Benz A 45 AMG yang disiapkan oleh AHM Technik dan dipandu oleh Alif Hamdan, dan beliau akan cuba mencatat masa di bawah 2 minit 30 saat. “Kami pernah melakukan 2 minit 34 saat dalam satu pusingan semasa perlumbaan MSF pusingan kedua bulan lalu menggunakan tayar street, tetapi dengan menggunakan tayar slick, mengikut data, masa 2 minit 29 saat mungkin boleh dicatat,” kata Alif.

Walaubagaimanapun, penampilan Mitsubishi Lancer Evolution VI yang diubah suai secara ekstrem milik Alif diberi nama Blue Arrow tidak dapat disaksikan kerana perubahan besar perlu dilakukan selepas ujian terakhir yang dilakukan di Sepang bulan lalu. Kereta ini terkenal setelah mencatat masa kedua terpantas dalam kategori Open semasa World Time Attack Challenge 2012.

“Kami hampa tidak dapat membawanya untuk pusingan kali ini memandangkan kami berharap dapat mencatat rekod pusingan Sepang menggunakan kereta saloon jalanan. Untuk pusingan akhir Disember nanti, kami pasti membawanya!” tambah Alif.

Selain jentera trek bertaraf tinggi, MegaLap Time Attack juga akan melibatkan saingan kenderaan berkuasa lebih rendah, dengan terdapat kategori untuk kapasiti enjin tidak melebihi 1,600 cc (masa pusingan dijangka bawah 2 minit 40 saat), serta kategori kenderaan berenjin bawah 2,000 cc tetapi menggunakan transmisi automatik dan CVT.

Pada hari itu juga perjumpaan Retro Havoc akan diadakan, bersama jamuan barbeku. Retro Havoc adalah antara perkumpulan kereta kustom dan retro terbesar di Malaysia dan ia akan berlangsung dari tengahari sehingga malam.

Peserta boleh mendaftar untuk MegaLap Time Attack melalui laman rasmi MSF Racing, manakala tiket untuk penonton pula adalah RM20. Untuk menyertai perkumpulan Retro Havoc dan makan malam barbeku, yuran RM30 dikenakan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman MegaLap Time Attack.