LaFerrari

Bagi peminat jentera Ferrari, mungkin akan ternanti-nanti, apakah akan ada model hypercar lain yang diperkenalkan selepas kehadiran LaFerrari. Walau pun selepas pelancaran LaFerrari, Ferrari telah mengeluarkan jentera yang diasaskan dari model terbabit yang dipanggil Ferrari FXX K.

Namun, pastinya peminat Ferrari mahukan jentera yang tidak dibayangi oleh LaFerrari, sebaliknya ditampilkan dengan kehebatan yang tersendiri. Malah mungkin kehebatannya lebih menyerlah berbanding LaFerrari.

Menurut Autocar, model hypercar baharu yang akan diperkenalkan oleh Ferrari dijangka lebih inovatif tetapi masih praktikal untuk digunakan di jalan raya biasa.

“Apabila kami mengeluarkan pelan perancangan bagi teknologi dan inovasi, kami telah pun mempertimbangkan untuk mengeluarkan model bagi menggantikan LaFerrari. Mungkin dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, ia akan didedahkan,” ujar Ketua Pegawai Teknologi Ferrari Michael Leiters kepada Autocars.

Katanya lagi, Ferrari mahu membuat sesuatu yang berbeza daripada sebelum ini. “Ia bukanlah jentera yang boleh digunakan di jalan biasa, dengan enjin Formula 1, tetapi lebih realistik. Ia perlu melahu antara 2,500 hongga 3,000 rpm dan rev hingga 16,000 rpm. Masih menggunakan enjin F1 tetapi perlu melakukan lebih banyak perubahan terhadapnya,” sambungnya lagi.

Walau pun tidak mendedahkan perincian lebih lanjut mengenai perancangan ini, namun Leiter mengesahkan bahawa pihaknya sedang menuju ke arah pengeluaran model hypercar baharu, tetapi menjadi tanda tanya bagaimana syarikat ini akan memberikan lebih hamburan kuasa mengatasi 950 hp milik LaFerrari?

Mungkin juga ia akan dijana dengan gabungan kuasa elektrik, hibrid atau ada perancangan lain yang lebih gempak? Kenalah tunggu langkah Ferrari yang seterusnya untuk membocorkan lebih banyak maklumat mengenainya.