Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD dan facelift untuk versi petrol di buka untuk tempahan bagi pasaran Malaysia

Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD dan facelift untuk versi petrol di buka untuk tempahan bagi pasaran Malaysia

Seperti yang kami jangkakan sebelum ini, Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD kini sah masuk kepasaran tempatan setelah Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan tempahan untuk model berkenaan secara rasmi dibuka. Bersama model hibrid tersebut, Jazz versi petrol turut diumumkan akan menerima sentuhan facelift dan turut boleh mula untuk ditempah.

Jazz Sport Hybrid bakal dilancarkan di Malaysia pada suku kedua tahun ini, manakala pelanggan akan menerima kereta mereka pada suku ketiga 2017. Untuk pengetahuan anda juga, Malaysia merupakan pasaran pertama di luar Jepun yang menerima Jazz versi Sport Hybrid ini.

Jazz dengan teknologi hibrid baharu menggunakan unit janakuasa yang berbeza dari model generasi sebelumnya. Unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai kargo (bermaksud ia tidak akan mengganggu konfigurasi tempat duduk Ultra). Gabungan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 137 PS, sama seperti kemampuan yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter, menurut Honda.

Kuasa dialirkan ke roda hadapan bukan melalui kotak gear CVT, tetapi model ini menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan. Transmisi ini bukan sahaja memberikan aliran kuasa yang lebih responsif, malah dengan sistem i-DCD ini, Jazz Hybrid kini boleh dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya. Mod EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive akan berubah secara automatik berdasarkan situasi pemanduan ketika itu.

Kejayaan Honda Malaysia untuk membawa model hibrid baharu ini membawa momentum yang dimulakan pada tahun 2004 dahulu setelah jenama berkenaan merupakan syarikat pertama memperkenalkan teknologi hibrid kepada rakyat Malaysia, serta pasaran pertama di luar Jepun dan Amerika Syarikat yang menghasilkan model hibrid secara pemasangan tempatan pada tahun 2012.

Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD dan facelift untuk versi petrol di buka untuk tempahan bagi pasaran Malaysia

Pengenalan Jazz (petrol) versi facelift juga agak istimewa kali ini kerana model berkenaan baharu sahaja didedahkan di Jepun dan bakal dilancarkan bulan hadapan pada pasaran berkenaan, manakala maklumat awalannya hanya kami terima menerusi brosur yang telah bocor di internet.

Tiada gambar hadapan diberikan oleh Honda Malaysia buat masa sekarang, namun menerusi brosur Jepun berkenaan menampilkan beberapa perubahan dengan bahagian depan yang direka semula kelihatannya menerima kemasan krom pada bahagian atas logo Honda, serta lampu utama yang lebih tajam juga menerima kemasan yang sama.

Menurut kenyataan rasmi dari Honda, model versi tingkat taraf ini bakal diberikan roda aloi dua-tona dan juga lampu nyalaan siang LED baharu. Pada bahagian belakang, bampar Jazz kini tidak lagi diberikan kemasan liang udara palsu, sebaliknya digantikan dengan kemasan melintang yang kelihatan lebih kemas dan matang.

Sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin bakal diberikan secara standard untuk semua varian bermula versi facelift 2017 ini. Tempat duduk separa-kulit dan juga kamera undur dengan ciri baharu juga bakal diberikan pada varian yang lebih tinggi.

Bagi sistem mekanikal pula, Jazz facelift bakal dikuasakan oleh unit janakuasa sama seperti sebelum ini iaitu enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm bersama transmisi CVT Earth Dreams.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required