Bukan lagi kejutan kerana laman Facebook rasmi Kia Malaysia telah pun membocorkan harga atas jalan bagi Kia Optima GT yang bakal dilancarkan esok, iaitu RM179,888 (termasuk insurans). Malah turut mengesahkan model sedan premium ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 242 hp hasil padanan enjin petrol 2.0 liter turbocharge T-GDI empat-silinder dengan bilangan tork mencecah 353 Nm.

Ternyata hamburan kuasa yang dihasilkan oleh Optima GT ini adalah mengatasi model pesaing dalam segmen yang sama iaitu Toyota Camry 2.5L Hybrid (202 hp), Mazda 6 2.5L (185 hp/ 250 Nm) dan Honda Accord (173 hp/ 225 Nm). Nampak gayanya kimchi telah mengatasi kepedasan wasabi dalam paduan kuasa ini.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang menghantar kuasa kepada dua roda hadapan, dan disertakan sekali dengan penukar gear di stereng. Menurut Kia, Optima GT boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 7.4 saat, sebelum mencapai laju maksimum 240 km/j.

Kia Optima GT ini telah pun dipamerkan di beberapa bilik pameran Kia terpilih. Kami akan membawakan perkembangan selanjutnya pada majlis pelancarannya esok.