Pada awal bulan ini, Peugeot Traveller dikesan sedang diuji di jalan raya di Malaysia, dan baru-baru ini pula kelihatan beberapa unit MPV bersaiz besar ini berada di luar bilik pameran Pegueot Malaysia di Glenmarie, Shah Alam.

Seperti sebelum ini, Traveller yang dikesan adalah spesifik dengan kehadiran pakej kekemasan Allure, ini termasuklah beberapa elemen seperti roda aloi 17-inci dan lampu utama xenon. Kami menjangkakan Traveller ini hadir dengan elemen lebih premium, jadi pintu gelangsar sisi kuasa elektrik bebas-tangan berkembar mungkin akan ditawarkan sebagai kit standard.

Walau pun kami tidak dapat melihat ruang dalamnya secara dekat, namun pastinya ia tampil dengan tiga barisan tempat duduk, tetapi tidak dipastikan sama ada dengan bentangan lima-, tujuh- atau lapan-tempat duduk. Jika mengikut spesifikasi Traveller yang dijual di pasaran Britain, ia dilengkapi dengan rekaan dalaman kekemasan kulit penuh, skrin sesentuh infotainmen tujuh-inci dan sistem kawalan suhu dwi-zon, mungkin juga turut ditawarkan untuk Malaysia.

Buat masa ini tiada informasi mengenai kuasa di bawah hudnya, namun terdapat beberapa pilihan enjin BlueHDi turbodiesel, dari 1.6 hingga 2.0 liter. Pilihan transmisi termasuk manual dan automatik enam-kelajuan, yang mungkin akan diterima bagi model pasaran Malaysia.

Traveller dibangunkan dengan menggunakan Efficient Modular Platform (EMP2) ciptaan PSA, dan didatangkan dengan tiga dimensi panjang iaitu Compact (4,606 mm), Standard (4,956 mm) dan Long (5,309 mm). Compact didatangkan dengan jarak roda 2,930 mm panjang, manakala dua lagi versi (Standard dan Long) pula lebih panjang iaitu 3,275 mm.

Peugeot Malaysia dijangka akan melancarkan MPV ini pada suku ketiga 2017. Ia akan dipasang secara CKD di fasiliti Naza Automotive Manufacturing, Gurun, Kedah (Malaysia merupakan hab pemasangan Peugeot untuk rantau ini) dan turut mungkin akan dieksport jika terdapat permintaan.

GALERI: Peugeot Traveller