Mungkin beberapa isu yang dibangkitkan oleh orang ramai sebelum ini mengenai kereta keluaran Perodua yang dikatakan ‘mengalami’ masalah hingga tular di laman media sosial, mendorong Perodua untuk mengeluarkan kenyataan rasmi ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan tersebut, Perodua memahami kehendak para pelanggannya yang mahukan kereta milik mereka bersesuaian dengan citarasa tersendiri. Oleh itu, Perodua menyarankan agar para pelanggannya memilih aksesori yang diperkenalkan oleh jenama itu sendiri termasuk GearUp.

Malah, menurut Perodua lagi, mereka mempunyai kakitangan terlatih dan berpengalaman untuk menilai sama ada kenderaan para pelanggan sesuai untuk penambahbaikan tersebut termasuklah untuk elemen hiburan atau apa jua komponen elektrikal lain.

Demi keselamatan, Perodua juga tidak menggalakkan para pelanggan memasang apa jua aksesori yang boleh mengganggu prestasi kenderaan termasuk kit badan, elemen yang berkaitan dengan enjin dan sistem elektrikal.

“Kami menghormati hak pelanggan sebagai pemilik kenderaan tersebut, walau bagaimana pun, jika anda menggunakan perkhidmatan pihak lain untuk modifikasi atau penukaran apa jua bahagian pada kenderaan anda, kami ingin memaklumkan bahawa ia boleh menyebabkan waranti kenderaan anda terbatal dan tidak sah,” ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr. Zahari Husin.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, para pelanggan boleh terus rujuk dengan wakil pengedar Perodua berhampiran.