Mercedes-AMG mendedahkan sedikit lagi perincian berkenaan hypercar mereka – setakat ini dikenali sebagai Project One – yang bakal di pertontonkan di Frankfurt Motor Show tahun ini, ketika berlangsungnya perlumbaan Nurburgring 24 Jam hujung minggu lalu.
Bercakap kepada CarAdvice, jurucakap Mercedes-Benz Australia berkata, kereta hiper berkenaan bakal diberikan enjin dari jentera pasukan F1 sebenar Mercedes-Benz iaitu enjin 1.6 liter turbo, kemudian digabungkan bersama empat motor elektrik dan dijangka bakal menjana sekitar 1000 hp.
Boss AMG Tobias Moers pula menyatakan, Project One bukan dibina disasarkan untuk menjadi kereta produksi terpantas di dunia, sebaliknya ia bakal menjadi penanda aras bagi kereta berprestasi dengan kecekapan tenaga yang tinggi.
Enjin sebenar Mercedes F1 yang bakal menjana jentera berkenaan walau bagaimanapun dihadkan putarannya hanya pada 11,000 rpm, 2,500 rpm lebih rendah dari kereta lumba F1 sebenar. Tetapi enjin tersebut masih mampu menjana sekitar 750 hp. Kuasa selebihnya pula akan disumbangkan dari empat motor elektrik yang mendapat suapan tenaga dari bateri lithium ion.
Dua dari motor elektrik berkenaan diletakkan pada roda hadapan, membolehkannya dipacu sebagai jentera AWD yang lengkap dengan sistem “torque vectoring yang agresif”. Mercedes-AMG turut mendakwa Project One boleh bergerak menggunakan hanya kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 25 km.
Dua lagi motor elektrik tidak dipadankan terus pada roda belakang, sebaliknya diletakkan pada enjin, memberikan kuasa terus pada aci engkol bagi membantu melenyapkan turbo-lag.
Pendedahan sebelum ini turut menyatakan hanya 275 unit Project One bakal diproduksi, manakala rupa sebenar serta perincian lengkap berkenaan hypercar ini hanya akan diketahui di Frankfurt nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.