PANDU UJI: Renault Koleos 2016 – pilihan dengan ciri yang lebih premium dalam saingan SUV segmen-C

PANDU UJI: Renault Koleos 2016 – pilihan dengan ciri yang lebih premium dalam saingan SUV segmen-C

Di Malaysia, jika berbicara tentang SUV, pasaran yang boleh dikatakan paling meriah tentulah dalam segmen-C. Namun, pasaran ini seolah-olah didominasi oleh jenama-jenama keluaran Jepun, yang mana dengan mudah anda akan berselisih dengan Honda CR-V, Nissan X-trail dan juga Mazda CX-5 pada bila-bila masa.

Selain dari tiga saingan utama ini, SUV-SUV segmen-C dari Korea seperti Hyundai Tucson dan Kia Sportage juga nampaknya kini makin menyerlah, begitu juga dengan sebuah lagi saingan dari Jerman iaitu Volkswagen Tiguan yang kini menampilkan harga yang lebih murah dari generasi sebelumnya bagi membolehkan ia bersaing lebih kompetitif.

Tetapi, jika diilihat secara keseluruhan, SUV segmen-C mempunyai hadnya tersendiri iaitu ia tidak direka terlalu premium bagi membolehkan julat harganya boleh bersaing antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, jika anda mahukan sesuatu yang lebih, sebenarnya terdapat lagi satu pilihan pada pasaran Malaysia dalam segmen ini iaitu Renault Koleos 2016.

Koleos generasi terkini ini muncul buat pertama kali pada April 2016 di Beijing Motor Show dan ia tiba di Malaysia hanya lima bulan selepas itu, dilancarkan secara rasmi dalam pasaran tempatan pada September tahun lalu. Model generasi kedua ini dibina berasaskan platform Common Module Family-CD (CMF-CD) iaitu platform yang sama dengan Nissan X-trail T32.

PANDU UJI: Renault Koleos 2016 – pilihan dengan ciri yang lebih premium dalam saingan SUV segmen-C

Oleh itu, Koleos baharu ini secara jelas lebih besar dari model sebelumnya. Ia hadir dengan dimensi 4,673 mm panjang, 1,678 mm tinggi dan 1,843 mm lebar manakala jarak rodanya pula ialah 2,705 mm. Atau lebih mudah untuk membayangkan, ia kini secara keseluruhan 153 mm lebih panjang, tetapi 17 mm lebih rendah dan 12 mm kurang lebar berbanding Koleos generasi pertama, manakala jarak rodanya pula meningkat sebanyak 15 mm.

Pada bahagian kargo, Koloes generasi baharu mampu membawa muatan dengan kapasiti 489 liter (dengan penutup tonneau terbuka). Untuk lebih ruang, tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 60:40, memberikan kapasiti keseluruhan 1,690 liter.

Selain dari platform, Koleos juga berkongsi unit janakuasa dengan X-trail 2.5L iaitu enjin empat silinder QR25DE 2.5 liter tanpa induksi paksaan menghasilkan kuasa 170 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 226 Nm pada takat 4,400 rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi CVT automatik X-tronic, dan untuk pasaran Malaysia, ia hanya memacu roda hadapan (2WD). Padanan ini membolehkan Koleos memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Muka Koleos direka dengan elemen signatur Renault terbaharu seperti pada model konsep Trezor dan juga model produksi seperti Megane. Ia diberikan gril krom yang garang dengan motif jaluran melintang beserta logo Renault yang diletakkan pada bahagian tengah. Koleos turut menampilkan lampu nyalaan siang dengan jalur berbentuk-C yang kelihatan seperti tertusuk ke lampu hadapan LED dan juga bersambung dengan jalur krom pada fender hadapan, berakhir di kemasan seperti liang udara pada pintu hadapan.

PANDU UJI: Renault Koleos 2016 – pilihan dengan ciri yang lebih premium dalam saingan SUV segmen-C

Keempat-empat ruang roda SUV ini juga diberikan rekaan seakan ‘bubble arch‘ yang menyerlahkan imej gagahnya serta disempurnakan dengan pemadanan rim “Argonaute” 18-inci lima jejari berkembar kemasan aloi digilap dan hitam berkilat. Rim-rim berkenaan dibaluti pula dengan tayar Nexen bersaiz 225/60/R18.

Elemen rekaan seperti diukir berbentuk-C turut diberikan pada penghujung kedua-dua lampu belakang, bersambung pada bahagian bampar. Selain untuk mengimbangi rekaan pada bahagian belakang, elemen berkenaan juga memberikan efek seakan SUV ini diberikan panel wide body. Lampu belakang LED Koloes turut direka seakan lampu pada hatchback Megane yang kelihatan seperti bersambung antara kiri dan kanan, dipisahkan oleh logo Renault pada bahagian tengah. Tip ekzos asli tidak kelihatan, tetapi kemasan palsu pada bampar direka seakan menempatkan tip ekzos berkembar.

Walaupun bersaing dalam kelas SUV segmen-C, Koloes menampilkan ruang dalaman yang jauh lebih premium dari seterunya yang lain. Ia diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT 7-inci yang boleh dipersonalisasikan mengikut kehendak pemandu. Skrin besar unit infotaimen R-link 2 bersaiz 8.7-inci pula diletakkan secara menegak pada bahagian tengah papan pemuka, yang kelihatan seperti rekaan SUV mewah Volvo XC90 T8 Twin Engine.

Sistem infotainmen R-Link 2 berkenaan direka seakan tablet atau telefon pintar, membuatkan ia agak mudah untuk digunakan. Selain dari memberikan hiburan yang dihubungkan kepada 8 pembesar suara Arkamys, skrin berkenaan turut digunakan untuk kawalan dan larasan lain seperti lampu suasana kabin (dengan pilihan warna hijau, biru, kuning, merah atau ungu), sistem pendingin hawa dua-zon, dan juga sistem-sistem bantuan pemanduan seperti data pemanduan, sistem pemantau titik buta, dan sebagainya.

PANDU UJI: Renault Koleos 2016 – pilihan dengan ciri yang lebih premium dalam saingan SUV segmen-C

Skrin berkenaan juga memaparkan imej dari kamera undur dan turut berfungsi sebagai skrin navigasi. Selain boleh dikawal dengan sentuhan, R-Link 2 turut boleh dikawal dengan pengecaman suara untuk fungsi navigasi dan juga telefon.

Secara keseluruhan, bahagian dalaman Koloes ini memberikan ruang yang agak luas tidak kira untuk penumpang hadapan dan juga belakang (dengan ruang lutut kabin belakang 289 mm) – sama seperti kembarnya Nissan X-Trail. Apa yang membezakan antara kedua-duanya adalah kualiti material yang diberikan dan juga rekaan yang lebih premium – misalnya tempat duduk, dimana kualiti balutan kulit pada Koleos sememangnya lebih premium, manakala tempat duduk itu sendiri direka dengan lebih sporty dan mampu memberikan pelukan badan yang lebih erat kepada penumpang.

Ciri kemudahan lain yang turut diberikan pada Koleos ini termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin (bersama fungsi kunci automatik walkaway), lampu hadapan dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau automatik serta tempat duduk hadapan larasan berkuasa enam-hala bersama sokongan lumbar untuk bahagian pemandu.

Walaupun dengan rupa yang agak garang, prestasi pemanduan Koloes ini sebenarnya agak lembut dan direka bagi memberikan keselesaan untuk penumpang. Enjin 2.5 liter dan kotak gear CVT dari Nissan ini bukanlah ditala untuk memberikan pecutan yang punchy di mana ia terasa agak ‘malas’ ketika didesak dengan tujahan pedal pendikit yang agresif. Setelah momentum ideal dicapai, enjin tersebut mampu memberikan kuasa yang mencukupi untuk menggerakkan badan SUV besar ini tanpa terasa terbeban serta memberikan kelajuan cruising yang selesa di lebuhraya sekitar 150 km/j hingga 170 km/j.

PANDU UJI: Renault Koleos 2016 – pilihan dengan ciri yang lebih premium dalam saingan SUV segmen-C

Begitu juga dengan pengendalian, ia diberikan karekter yang lebih mesra penumpang berbanding prestasi pemanduan. Ia mungkin agak lembut dan tidak tajam seperti Volkswagen Tiguan atau Mazda CX-5, mahupun Honda CR-V, namun keselesaan pada Koloes jelas mengatasi tiga pencabarnya tadi.

Koleos memberikan kadar serapan kejutan yang sangat baik tidak kira pada permukaan jalan raya mahupun laluan yang tidak berturap. Ditambah dengan kedapan bunyinya serta material kabin yang agak premium, SUV ini memberikan pengalaman keselesaan pada kelasnya yang tersendiri berbanding pencabar-pencabar terdekat.

Sistem stereng berkuasa elektrik Koleos ini juga diberikan talaan yang agak ringan. Tidak berapa selesa digunakan di jalan berliku kerana anda perlu memberikan pembetulan yang agak banyak berikutan responnya yang agak lambat, tetapi stereng ini sangat efektif ketika digunakan di dalam bandar – memudahkan anda membuat pusingan-U dan masuk ke petak parkir.

Untuk keselamatan, SUV dari Renault ini diberikan sistem brek ABS lengkap dengan EBD serta BA, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Traction, Bantuan Mula Mendaki, Sistem Pengesan Titik Buta, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, tali pinggang keledar dengan ciri pra-regangan serta enam-unit beg udara.

Empat warna ditawarkan untuk Koleos serba baharu ini iaitu Universal White, Grey Metallic, Black Metallic, dan Meissen Blue. Hanya hadir dengan satu varian, SUV ini dijual pada harga atas jalan dengan GST dan insuran RM177,917.72. Ia hadir ke pasaran Malaysia dalam versi diimport sepenuhnya (CBU), diproduksi di kilang Renault Samsung Motors, Busan, Korea. Pengedar sah Renault di Malaysia, TC Euro Cars, turut memberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

Harga yang ditawarkan mungkin agak tinggi berbanding pesaingnya yang lain. Tetapi jika anda lihat sendiri ciri premium yang ditawarkan, dan berpeluang untuk berada di dalam kabin Renault Koleos ini, anda pasti tahu kemana wang yang anda belanjakan sekiranya anda mengambil keputusan untuk memilih SUV rekaan jenama Perancis ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required