Suzuki Swift serba baharu yang didedahkan buat pertama kali hujung 2016 lalu, kini telah menerima penarafan keselamatan empat-bintang dari Euro NCAP. Walau bagaimana pun, penarafan ini hanya untuk varian yang dilengkapi pek sokongan brek radar, dan jika tanpa elemen tersebut, ia hanya menerima tiga-bintang sahaja.

Penarafan keselamatan bagi kategori ujian Bantuan Keselamatan, ia melibatkan teknologi bantuan pemanduan termasulkan brek kecemasan sendiri (AEB). Bagi model Swift tanpa sistem AEB, sebanyak 25% markah diberi, manakala model yang dilengkapi sistem tersebut menerima 44% markah.

Selain itu, Swift juga cemerlang dalam ujian Penumpang Dewasa, dengan model yang dilengkapi AEB, ia menerima 88% markah (model tanpa AEB hanya 83%). Malahan Swift juga menerima 75% markah bagi ujian Penumpang Kanak-kanak dan 69% untuk ujian Pejalan Kaki.

“Euro NCAP mula memberi ganjaran bagi sistem pejalan kaki AEB pada tahun lepas dan kami melihat ia satu perkembangan baik bagi teknologi yang dilaksanakan. Kami berharap sistem AEB ini dapat dipertingkatkan bagi mengesan penunggang basikal apabila ujian bagi sistem tersebut dilakukan tahun hadapan,” ujar setiausaha agong Euro NCAP Michiel van Ratingen.