September tahun lalu, Nissan telah mendedahkan versi facelift SUV Rogue iaitu X-Trail versi pasaran Amerika Syarikat, dan kini jenama dari Jepun berkenaan mendedahkan pula SUV dengan lencana X-Trail sebenar yang juga telah diberikan facelift versi pasaran Eropah. X-Trail dengan rupa lebih segar berkenaan bakal menembusi pasaran bermula Ogos ini.
X-Trail facelift menampilkan rekaan gril V-motion yang lebih lebar dan garang digandingkan dengan bampar baharu. Lampu hadapan turut direka semula dan diberikan lampu nyalaan siang LED boomerang baharu. lampu LED penuh untuk X-Trail kini diberikan sistem lampu hadapan adaptif (AFS) buat pertama kali. Lampu kabus pula kini menampilkan bentuk bersegi, berbanding bulat sebelum ini.
Pada bahagian bampar pula, ia kini diberikan kemasan krom baharu. Lampu belakang juga kini diberikan sistem LED sepenuhnya. Model varian tertinggi kini diberikan kemasan krom pada bahagian bawah pintu depan dan belakang.
X-Trail facelift hadir dengan rim aloi rekaan baharu untuk versi diameter 17-inci dan 18-inci. Empat pilihan warna baharu turut ditampilkan meliputi warna Orange Pearl, Red Pearl, Blue Pearl Metallic dan Dark Brown Pearl.
Model dipertingkat ini turut diberikan penyegaran pada bahagian dalaman. Roda stereng kini diberikan unit baharu dengan rekaan rata di bahagian bawah bagi memudahkan pemandu keluar dan masuk serta memperbaiki sudut pandang ke paparan instrumen. Roda stereng berkenaan turut diberikan suis-suis kawalan yang membolehkan pemandu lebih menumpukan pandangan pada cermin hadapan serta diberikan sistem pemanas bina dalam buat pertama kali.
Nissan mendakwa bahagian dalaman X-Trail 2017 diberikan komponen kabin yang diperbuat dari material lebih berkualiti tinggi, seperti kemasan hitam berkilat pada liang pendingin hawa. Pemanas tempat duduk turut diberikan pada bahagian hadapan dan belakang buat pertama kali, manakala upholsteri kulit baharu berwarna tan/hitam ditawarkan sebagai ciri opsyen.
Varian tertinggi Tekna kini diberikan sistem audio Bose Premium bersama paparan navigasi yang telah dikemaskini. Ia juga turut diberikan antena sirip yu yang mempunyai kualiti penerimaan lebih baik serta rupa yang lebih menarik.
Dengan rombakan semula pada bahagian dalaman, ruang but X-Trail juga kini mempunyai kapasiti lebih besar, meningkat dari 550 liter kepada 565 liter pada versi lima tempat duduk. Jumlah kapasiti berkenaan dapat ditingkatkan lagi pada 1,996 liter setelah tempat duduk belakang dilipat.
Semua varian X-Trail juga diberikan pilihan ‘tendang untuk buka’ pada pintu tailgate serta kesemua varian diberikan Luggage Board System dari Nissan, yang membolehkan para disusun dan dilaras dengan sembilan formasi. Ruang tersembunyi untuk barang berharga turut diberikan.
SUV Nissan X-Trail terbaharu ini turut dilengkapi dengan teknologi pemanduan sendiri ProPilot pada 2018 nanti. Sistem berkenaan akan mengawal stereng, pecutan dan juga brek pada satu lorong lebuhraya sama ada pada situasi trafik sesak mahupun cruising pada kelajuan tinggi.
Selain itu, X-Trail baharu ini turut diberikan sistem brek kecemasan automatik pintar dan juga sistem pengenalpastian pejalan kaki serta amaran lintasan trafik belakang.
Walau bagaimanapun, X-Trail pasaran Eropah masih kekal dengan tiga pilihan enjin iaitu diesel 2.0 liter berkuasa 177 PS, diesel 1.6 liter berkuasa 130 PS, dan juga 1.6 liter petrol turbo berkuasa 163 PS. Kesemua enjin tersebut hadir dengan pilihan transmisi automatik CVT dan juga manual enam-kelajuan. Pelanggan juga boleh memilih sama ada mahukan versi 2WD atau 4WD, dan juga lima atau tujuh tempat duduk.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.