Yamaha baru sahaja memperkenalkan kepada dunia sebuah motosikal jenis jelajah mewah yang dinamakan sebagai Star Venture 2018 dan kali terakhir pengeluar dari Jepun itu mengeluarkan model seperti ini adalah pada sekitar tahun 2000. Segalanya adalah baru untuk motosikal ini dan ia mempunyai pelbagai kelengkapan moden untuk menjadikan tunggangan lebih selesa.

Bermula dengan enjin, Star Venture menggunakan unit V-twin 1,854 cc berserta sistem penyejukan udara dan sistem suntikan bahan api Yamaha Fuel Injection dengan YCC-T dan D-Mode. Ia kemudiannya dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dan mampu menyalurkan sebanyak 171 Nm tork kepada tayar belakang melalui sistem pacuan tali sawat.

Seperti yang boleh dilihat, motosikal pesaing kepada Honda Gold Wing yang lebih terkenal ini agak besar, dengan berat kering keseluruhan sekitar 434 kg, tetapi Yamaha mendakwa ia masih mudah dikawal hasil daripada pembahagian berat yang sekata dan tinggi tempat duduk hanya 27.4 inci. Selain itu, Yamaha turut melengkapkan motosikal ini dengan motor elektrik untuk membantu penunggang mengundur atau bergerak ke hadapan perlahan-lahan.

Seperti kebanyakan motosikal moden lain, Star Venture dilengkapi dengan sistem elektronik moden termasuk pendikit ride-by-wire, dua mod kuasa, cruise control, brek ABS, traction control dan sistem pemula tanpa kunci. Untuk sistem hiburan dan informasi, terdapat skrin sesentuh berwarna tujuh inci lengkap dengan sambungan bluetooth dan USB.

Sebagai sebuah motosikal untuk perjalanan jauh, Star Venture dilengkapi dengan tangki minyak 25 liter, dan ruang simpanan yang besar di bahagian belakang dan sisinya. Selain itu, ia turut mempunyai dua soket pengecas USB, pembesar suara, lampu utama LED, penghadang angin yang boleh dilaras secara elektronik dan pelantar kaki yang luas.

Antara kelengkapan lain pada Star Venture adalah fork hadapan 46 mm, suspensi belakang boleh laras secara elektronik, tayar 130/70 R16 di hadapan dan 200/55 R16 di belakang, brek cakera 298 mm berkembar di hadapan dan 320 mm di belakang serta penyandar berkusyen untuk penumpang.

Motosikal ini hanya setakat dipertonton awal di Amerika Syarikat dan akan dilancarkan pada bulan Ogos nanti. Walaupun begitu, tempahannya sudah dibuka dengan harga bermula USD24,999 (RM106,495) bagi model asas.