Semalam, Honda Malaysia telah melancarkan model Jazz 2017 facelift secara rasmi untuk pasaran tempatan. Terdapat empat varian yang ditawarkan, bermula dari yang paling asas – S, E, Sport Hybrid dan V. Harganya pula ialah di antara RM74,800 hingga RM88,400.

Tiga versi enjin petrol tampil dengan perubahan minimum dari sudut kosmetik, dengan menerapkan rekaan bampar baru yang menjadikan penampilan bahagian depannya sedikit berbeza dari unit yang terdahulu. Enjin bagaimanapun masih sama; 1.5 liter SOHC dengan janaan kasa 120 PS dan 145 Nm.

Tambahan varian terbaru dalam kelurga Jazz 2017 ini tentulah Jazz Sport Hybrid i-DCD. Walaupun dari rekaan luaran tidak kelihatan perbezaan ketara dari versi petrol, namun enjin dan transmisinya adalah serba baru, tidak sama dengan janaan hibrid terdahulu yang digunakan pada kenderaan Honda.

Ia hadir dengan enjin 1.5 liter DOHC kitaran Atkinson yang mampu menghasilkan 110 PS kuasa dan 134 Nm tork. Janaan kuasa gabungan yang dihasilkan oleh enjin ini dengan bantuan motor elektrik ialah 137 PS dan 170 Nm; ini menurut Honda menyamai kuasa yang dihasilkan oleh enjin 1.8L.

Selain itu, transmisi yang digunakan juga adalah dari jenis klac berkembar kering. Honda Malaysia menyatakan sistem berkenaan telah diuji selama dua tahun di sini, termasuk laluan naik-turut Genting Hingland dan jalan sesak, dan mengesahkan ia tidak akan memberi masalah kepada pengguna.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut perbezaan penawaran bagi Honda Jazz 2017 ini, tonton video tinjauan awal terhadapnya yang kami sediakan ini.

GALERI: Honda Jazz 1.5 V

GALERI: Honda Jazz 1.5 E

GALERI: Honda Jazz 1.5 Sports Hybrid i-DCD