Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

Sekali lagi bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed, menyentuh perihal Proton-Geely menerusi blog peribadinya chedet.cc, dan mengesahkan pernah melawat kilang Geely di China. Selain pernah melawat kilang Volvo di Sweden, Jaguar di Britain, Nissan dan Toyota di Jepun serta Volkswagen di Jerman.

“Saya melawat banyak syarikat automotif di dunia untuk menjual Syarikat Proton. Tetapi saya gagal. Ternampak orang lain lebih berjaya, Syabas dan tahniah, saya ucapkan kepada mereka.

“Mungkin saya gagal kerana bercakap berkenaan pembelian enjin dari Geely. Geely memiliki Volvo dan saya dapati rekaan enjin Volvo cukup baik. Proton tidak ada enjin yang boleh diterima oleh Eropah. Jika dipasang enjin Geely/Volvo, mungkin kita akan menepati spec Euro 6. Dahulu pasaran luar yang terbesar bagi Proton ialah Britain. Sekarang kita tak dapat jual barang sebiji pun kereta Proton di Britain dan di Eropah kerana tidak menepati Euro 5,” ujar Tun Mahathir dalam catatannya yang bertajuk “Melawat Geely.”

Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

Beliau turut mengakui pernah cuba untuk menaiktaraf enjin Proton namun syarikat automotif tersebut menolaknya. Bahkan Tun Mahathir juga pernah membuat trak pikap. Mungkin ini senada dengan laporan yang disiarkan pada Mei 2016 di mana sebuah syarikat dari Indonesia, Esemka, dikatakan akan membangunkan trak pikap, dengan bekerjasama Proton.

Bahkan pada pertengahan Julai lepas, Tun Mahathir pernah dilihat memandu sebuah Proton Preve versi trak pikap di ibu pejabat Bufori, Kepong, Walau bagaimana pun, berita yang dilaporkan selepas Tun Mahathir mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengerusi Proton, hingga kini masih menjadi tanda tanya.

Namun menurut blog beliau, katanya, Proton bukan sahaja telah menolak untuk membangunkan trak pikap, tetapi juga tidak bersetuju menjual 1,000 Proton Preve, malah Tun Mahathir turut mendakwa ramai pembeli sanggup beralih dari sedan kepada pikap.

Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

Selain itu, Tun Mahathir turut menyentuh mengenai isu Honda yang tidak membenarkan Perdana yang menggunakan enjin Accord dieksport.

“Usaha dibuat untuk pasang enjin Campro Proton 1600cc dengan turbo charger yang mempunyai kuasa sama dengan Perdana 2000cc. Kereta ini didapati sama kuat dengan Perdana 2000cc dan mampu naik Genting Highlands tanpa sedikit pun masalah. Lagipun kos enjin Proton Campro RM8,000 lebih murah. Upgrade kepada 2400cc pun boleh. Tetapi Proton tolak,” ujarnya lagi.

Mantan Perdana Menteri ini juga mendedahkan, untuk aliran tunai, Proton perlu menjual lebih 8,000 unit kenderaan setiap bulan, namun ternyata ia tidak berjaya, sekaligus menyebabkan bayaran untuk vendor dan overhead terjejas.

“Oleh itu, para vendor tidak dapat membekalkan komponen kerana tidak dibayar. Kereta tidak dapat dipasang kerana tak cukup komponen. Keluaran rendah dari permintaan. Penjualan tidak dapat ditingkatkan. Demand ada. Bekalan kurang. Proton rugi,” dedahnya lagi sambil mengakui selepas meninggalkan syarikat automotif tersebut, pegawai dan kakitangan Proton tidak dibenarkan bercakap dengannya, termasuk mengatur sebarang pertemuan.

Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

Sambungnya lagi, “Ramai pembekal berjumpa saya untuk saya tolong dapat duit yang dihutang oleh Proton. Tetapi saya tidak boleh buat apa-apa.”

Tun Mahathir turut mengakui, kereta buatan proton sebenarnya lebih kurang setanding dengan kereta import yang sama harga dengannya. Malah masalah seperti tingkap berkuasa juga telah diatasi sejak 10 tahun lalu walau pun ia masih menjadi isu yang sering dibangkitkan.

“Ramai yang membeli kereta Proton puas hati. Yang tidak puas hati tidak mengguna Proton, tidak tahu kualiti Proton. Mereka masih percaya cermin tingkap tidak naik.

Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

“Saya masih ingat zaman kereta Jepun dijadi objek ketawa kerana kononnya jika cat dikikis akan terlihat label Milo. Industri automotif Jepun dan Korea berjaya kerana Kerajaan mereka tidak benar kereta asing diimport sehinggalah kualiti kereta mereka sudah boleh bersaing dengan kereta import. Sehingga kini pun tak banyak kereta buatan asing di negara mereka,” ujarnya lagi.

Walau bagaimana pun, katanya, Malaysia mengamalkan sikap terbuka di mana negara luar boleh menjual kenderaan mereka di sini. Tetapi kereta buatan Malaysia tidak dibenarkan memasuki negara mereka atas pelbagai alasan dan kita terpaksa akur.

Akhir kata darinya, “Tak usahlah pertahan bahawa kita masih ada kereta nasional. Kereta milik orang lain, dikeluar dan dijayakan oleh orang lain, tidak boleh diiktiraf sebagai nasional. Apakah dengan pegangan melebihi 0.1% maka pihak yang memiliki 49.9% tidak punyai apa-apa kuasa langsung. Ya. Memang terdapat kos yang tinggi mempertahan maruah. Lebih mudah jual sahajalah maruah.”