BMW 6 Series Gran Turismo G32 kini diperkenalkan

BMW 6 Series Gran Turismo G32 kini diperkenalkan

Siri kenderaan Gran Turismo oleh BMW dihasilkan untuk memberi gaya sebuah coupe, ruang kaki sebuah limosin, praktikaliti sebuah estate dan posisi pemanduan tinggi sebuah SUV, pada sebuah kenderaan. Terbaru diperkenalkan adalah model 6 Series Gran Turismo G32, yang kini menggantikan 5 Series Gran Turismo dan 21 mm lebih rendah berbanding 5 GT.

Walaupun begitu, ia masih adalah sebuah kenderaan yang besar, dengan ukuran 5,091 mm panjang, 1,902 mm lebar dan 1,538 mm tinggi, sekaligus menjadikan 6 GT 155 mm lebih panjang, 34 mm lebih lebar dan 59 mm lebih tinggi berbanding kereta asasnya iaitu 5 Series G30.

Muka hadapan kenderaan ini menyerupai 5 Series, tetapi lampunya mempunyai ‘kening’ yang menaik ke bahagian tepi. Lampu utama jenis LED penuh diberikan terus secara standard, tetapi pemilik juga diberikan peluang untuk menaik taraf kepada unit adaptif dengan light guide ‘corona ring’, pembahagian cahaya boleh ubah dan lampu tinggi anti silau Selective Beam.

Pada bahagian tepi pula boleh dilihat salur udara yang ada disepadukan dengan lebih kemas, manakala A-pillar yang lebih condong bersambung dengan bumbung yang 64 mm lebih rendah. Pergi ke belakang, terdapat pula lampu tiga dimensi, bersama spoiler bersepadu yang boleh naik secara automatik pada kelajuan lebih 120 km/j dan ciri Air Curtains dan Air Breather. Kecekapan rintangan angin kenderaan ini juga bertambah baik menjadi 0.25, daripada 0.29 Cd.

Seperti kenderaan BMW yang lain, model 6 GT ini ditawarkan dalam varian standard, Sport Line (kemasan hitam berkilat), Luxury Line (kemasan krom) dan M Sport (kit badan lebih sporty). Rim pula terdiri bermula daripada saiz 17 inci, hingga 20 inci manakala 21 inci pula turut tersedia di dalam katalog aksesori.

Bahagian dalam kenderaan ini diambil secara terus daripada 5 Series, menampakkan papan pemuka yang rendah, skrin iDrive di tengah, konsol tengah yang tinggi dan panel meter digital yang boleh dinaik taraf kepada paparan widescreen penuh. Perincian unik yang diberi termasuk lencana GT berwarna krom mutiara di belakang serta pilihan penghadang cahaya untuk tingkap belakang.

Pada bahagian belakang terdapat tiga tempat duduk, dan dua daripadanya disiapkan dengan cagak Isofix. Turut dipertingkat adalah ciri kedapan bunyi dengan penambahan bahan serapan di bumbung, pintu dan penyandar kepala tempat duduk belakang.

Jika sebelum ini pintu but belakang terdiri daripada dua unit, kini, ia digantikan dengan satu sahaja dan ia boleh dibuka dengan bantuan penolak berkuasa elektrik. Pemilik juga boleh mendapatkan ciri membuka tanpa sentuhan dalam pakej Comfort Access. Di bahagian ini, terdapat ruang simpanan 610 liter – 110 liter lebih luas berbanding sebelum ini. Apabila tempat duduk belakang dilipat secara 40:20:40 pula, anda akan mendapat 1,800 liter ruang, iaitu 100 liter lebih berbanding 5 GT.

BMW 6 Series Gran Turismo G32 kini diperkenalkan

Pilihan enjin untuk 6 GT hampir sama seperti 5 Series, iaitu paling asas adalah unit empat silinder 2.0 liter turbo petrol pada 630i yang mampu menghasilkan 258 hp dan 400 Nm tork. Untuk enjin diesel pula, terdapat unit enam silinder 3.0 liter turbo yang diletakkan pada 630d, dengan kuasa 265 hp dan 620 Nm tork. Paling tinggi semasa dilancarkan adalah varian 640i, dengan enjin enam silinder 3.0 liter turbo petrol yang berkuasa 340 hp dan 450 Nm tork.

Di bawah panel badan kenderaan ini, terdapat penggunaan aluminium serta besi berkekuatan tinggi yang lebih meluas, sekaligus menjadikan ia 150 kg lebih ringan. Suspensi yang digunakan pula adalah daripada jenis double wishbone di hadapan, five-link di belakang dan penyerap udara yang boleh rata secara sendiri sebagai standard.

Kelengkapan lain yang diberikan sebagai pilihan adalah suspensi udara penuh dengan penyerap adaptif, Executive Drive dengan active roll stabilisation dan rear-wheel steering. Pilihan dua ciri awal tadi juga akan memberikan tambahan mod pemanduan Adaptive, yang menggunakan data navigasi untuk melaras kenderaan sambil bergerak, dan satu lagi tetapan tambahan iaitu Comfort+.

Seperti juga 5 Series, pemilik boleh menambah pelbagai lagi barangan pada 6 GT termasuk kunci dengan skrin sesentuh, bumbung panoramik, tempat duduk dengan ciri mengurut, pewangi udara, lampu suasana pelbagai warna dan sistem bunyi 16 pembesar suara, 1,400 watt Bowers & Wilkins.

BMW 6 Series Gran Turismo G32 kini diperkenalkan

Sistem iDrive pada 6 GT telah dinaik taraf, dan ia menggunakan skrin sesentuh 10.25 inci secara standard, bersama kawalan suara yang diperbaiki dan boleh bertindak balas terhadap pelbagai arahan. Anda juga boleh memilih kawalan tangan, skrin definisi tinggi yang 70% lebih besar dan sambungan Apple CarPlay.

Ciri dalam aspek keselamatan juga agak banyak dengan antaranya adalah Collision and Pedestrian Warning dengan City Collision Mitigation secara standard, Active Cruise Control dengan Stop & Go, bantuan kawalan stereng dan penukaran lorong, Lane Departure Warning, Lane Change Warning serta Side Collision Warning dengan ciri mengelak dan amaran.

Pembeli juga boleh menambah sistem pemerhati tiga dimensi dengan sambungan kepada telefon pintar, night vision, pembantu letak kenderaan penuh dan Remote Control Parking yang boleh mengeluar dan memasukkan kenderaan anda ke dalam petak letak kereta dengan menggunakan Display Key sahaja.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required