Subaru akan menghantar model WRX STI Type RA keluarannya ke laluan berbukit di Goodwood hujung bulan ini – untuk tujuan penilaian prestasi dalam acara di sana. Ia akan dipandu oleh Mark Higgins, orang yang sama mencatatkan rekod bagi model berkenaan di Isle Of Man sebelum ini. Selain Goodwood, jentera ini juga akan diuji di litar Nurburgring Nordschleife.

‘RA’ pada nama yang digunakan ini bermaksud Record Attempt, dan kekal sejak Subaru Legacy memecah rekod kelajuan endurans FIA pada 1989. Lebih baru daripada itu ialah ketika syarikat ini memperkenalkan model Impreza WRX STI Type RA 1993, sebuah model prestasi untuk pasaran Jepun.

Berdasarkan WRX STI terkini, Type RA dilengkapi dengan enjin 2.5 liter turbo empat-silinder, dengan kuasa 310 hp hasil daripada talaan semula terhadap intake, sistem ekzos dan ECU. Untuk mengurangkan berat, Type RA ini menggunakan gentian karbon pada bumbung dan sayap belakang, serta rim 19 inci aloi yang digunakan.

Turut dijangkan akan digunakan ialah penyerap hentak Bilstein dan tempat duduk Recaro yang dinaik taraf. Pengurangan berat dijangka akan turut dilakukan pada bahagian-bahagian lain, mengambil kira penampilan model RA yang lepas-lepas. Antaranya menggantikan sistem pendingin hawa dengan corong pada bumbung, serta penggunaan cermin sisi manual tanpa kelengkapan elektronik.