Volvo V40 facelift 2017 telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dalam satu varian sahaja, T5 Inscription, yang turut menampilkan pemaharuan terutama dari aspek kosmetik. Ia dijual pada harga RM180,888 atas jalan tanpa insurans, video ini menggariskan perbezaannya dengan versi yang terdahulu.

Paling utama ialah penampilan di bahagian depan, dengan wajah baru V40 yang lebih menarik. Antara yang paling ketara ialah penggunaan lampu utama Thor’s Hammer dengan sistem LED sepenihnya – ini diwarisi daripada model-model lebih besar Volvo sebelum ini, seperti XC90 dan S90/V90.

Selain itu, penggunaan gril Inscription baru dengan jalur menegak dengan logo Volvo Iron Mark baru yang lebih besar dan menonjol menggantikan yang lama. Bahagian cermin pandang belakang pula terletak kamera bagi ciri keselamatan City Safety, yang turut melibatkan ciri Autonomous Emergency Braking (AEB).

Bagi penggunaan rim pula, walaupun masih mengekalkan saiz yang sama, versi ini menggunakan rekaan yang baru, dengan saiz tayar 225/45. Bahagian dalaman pula kini menggunakan kemasan Milled Aluminium, menggantikan kemasan Shimmer Graphite terdahulu.

Volvo V40 2017 ini menggunakan enjin Drive-E T5 2.0 liter turbo dengan janaan kuasa 245 hp dan 350 Nm dari 1,500 rpm hingga 4,800 rpm. Transmisi pula menggunakan jenis automatik lapan-kelajuan dari Aisin. Tonton video ini untuk melihat dengan lebih dekat pembaharuan yang dinyatakan ini. Untuk spesifikasi lanjut, layari juga laman CarBase.my.