Jika dilihat dari sudut positif, kerjasama di antara Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) dan Proton disasarkan untuk mampu mengembalikan jenama kereta nasional sebagai salah satu pemain industri yang berkaliber dan dipercayai – bukan setakat di pasaran temptan, bahkan di peringkat ASEAN mahupun dunia.
Namun, ada keresahan lain yang mungkin muncul; kehadiran model-model keluaran Proton dan Geely dalam pasaran tertentu mungkin akan mengakibatkan pertindihan kepentingan antara kedua-dua jenama itu.
Bagaimanapun, Pengerusi ZGH, Li Shufu berkata daripada segi posisi jenama, Proton disasarkan untuk ASEAN, sedangkan Geely tiada perancangan untuk menembusi pasaran ini menerusi jenama mereka sendiri – ia akan kekal di pasaran Asia lain seperti di China.
Tentang pertindihan kepentingan, Li menjadikan situasi Kumpulan Volkswagen sebagai contoh mudah.”Geely bolehlah diibaratkan sebagai Volkswagen dalam konteks hubungannya dengan Skoda, yang boleh dirujuk sebagai situasi yang sama untuk Proton kini. Kedua-duanya mengeluarkan kenderaan dengan jenama sendiri. Walaupun ada diantaranya berada dalam posisi penjenamaan yang sama, namun pasarannya adalah berbeza. Jadi, tiada masalah tentang pertindihan kepentingan,” ujarnya.
Katanya lagi, Geely mahu Proton bangkit dan mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama ulung di Asia Tenggara. Ini akan menjadi fokus utama dan tanggungjawab mereka untuk dilaksanakan terlebih dahulu selepas ini.
Selain itu, beliau turut mengesahkan kilang Proton di Tanjung Malim juga akan menjadi hab produksi bagi model kenderaan pemanduan sebelah kanan bagi Geely yang disasarkan untuk pasaran ASEAN. Keupayaan R&D Proton juga akan diangkat sebagai pusat kecemerlangan global Geely yang kelima di dunia.
“Proton memang relevan untuk pasaran Malaysia dan ASEAN. Matlamat pertama kami adalah menghentikan kerugian (yang dialami oleh Proton sebelum ini) dan melakukan perubahan bagi melonjakkan kembali jenama ini agar ia lebih menguntungkan. Selepas itu barulah pertimbangan lain akan diperhalusi untuk mengembangkannya lagi,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.