Memahami latar belakang perjanjian rakan strategik Proton – peranan kerajaan, DRB-Hicom dan Geely

Memahami latar belakang perjanjian rakan strategik Proton – peranan kerajaan, DRB-Hicom dan Geely

Hari ini secara rasmi lengkapnya perjanjian usaha sama antara Proton dan Geely selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian muktamad (definitive agreement) pagi tadi di Kuala Lumpur (dan kini hanya tertakluk kepada regulatory approval sahaja). Tulisan ini akan menyorot kembali latar belakang perkara yang telah mendorong ke arah situasi semasa yang didepani Proton kini – seperti yang dijelaskan oleh taklimat daripada Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar kepada pihak media.

Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini – termasuk sebelum DRB-Hicom mengambil alihnya – Proton sudah tidak berada di dalam situasi “sihat” seperti yang pernah dikecapinya dahulu. Sesuatu perlu dilakukan; ketika kerajaan bersetuju untuk memberikan pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion kepada Proton tahun lalu, kerajaan meletakkan syarat – Proton perlu mencari rakan strategik asing untuk membantunya berdiri dan berdaya saing semula – selepas ini tanpa bantuan kerajaan lagi.

Selepas beberapa lama terlibat dalam proses penilaian pihak-pihak yang berminat ke atas Proton, akhirnya seperti yang kita ketahui kini, Zhejiang Geely Holdings (ZGH) dipilih sebagai rakan strategik yang bertujuan untuk memulihkan semula situasi Proton. Ia bagaimanapun bukanlah merupakan pelepasan kepentingan secara sepenuhnya; DRB-Hicom masih memegang 50.1% kepentingan di dalam Proton.

Geely masuk ke dalam “gambaran” ini hanya bagi perkara-perkara dan urusan yang berkaitan automotif yang dijalankan oleh Proton sahaja. Syarikat China ini tidak berminat dengan hal-hal tidak berkaitan automotif di bawah Proton. Dengan itu, sektor yang menerima kesan terus daripada usaha sama ini ialah pengeluaran, operasi, pengilangan dan jualan.

Memahami latar belakang perjanjian rakan strategik Proton – peranan kerajaan, DRB-Hicom dan Geely

Setakat ini, sebagai permulaan, sebahagian daripada perjanjiannya ialah Geely akan menyuntik sejumlah RM170.3 juta tunai untuk Proton. Selain itu, perkongsian platform dan model SUV Geely Boyue, yang akan menjadi model pertama diperkenalkan hasil kerja sama ini nanti, bernilai sebanyak RM290 juta (dinilai oleh KPMG). Ini menjadikan jumlah transaksi keseluruhan yang terlibat ialah RM460.3 juta antara kedua-dua syarikat.

Selain transaksi berkenaan, perkara-perkara lain yang termasuk di dalam perjanjian ini, yang juga merupakan perancangan Geely untuk memulihkan Proton, ialah berkaitan model-model akan datang yang akan dikeluarkan serta program pembangunan teknologi dan R&D – Geely akan menyediakan kepakaran pengurusan dari rangkaian operasi globalnya untuk dimanfaatkan oleh Proton.

R&D Proton pula akan menjadi tambahan terbaru bagi Geely Centre of Execellence yang kini melibatkan beberapa pusat rekaan lagi diseluruh dunia. Bagi kilang di Tanjung Malim pula, semua operasi pemasangan akan dipindahan ke sana. Ia akan menjadi hab pengeluaran bagi kenderaan pemanduan sebelah kanan Geely untuk rantau ASEAN. Selain itu, sekiranya kapasiti pengeluaran di sana masih berbaki, kenderaan Volvo juga dirancang akan dipasang di kilang itu.

Selain itu, vendor sedia ada Proton juga akan berpeluang tersenarai di dalam rangakaian pembekal global Geely, untuk membekalkan peralatan kepada syarikat automotif di bawah Geely lainnya, seperti Volvo – sekiranya mereka mampu menepati standard yang ditetapkan. Ini adalah kelebihan yang akan diberi kepada Proton, dalam usaha untuk mengoptimumkan pengeluaran kenderaan di Tanjung Malim.

Memahami latar belakang perjanjian rakan strategik Proton – peranan kerajaan, DRB-Hicom dan Geely

Bagi pihak DRB-Hicom pula, disebabkan Geely hanya ingin memberi tumpuan terhadap aset berkaitan automotif yang dimiliki Proton sahaja, syarikat akan memindahkan semua aset yang bukan automotif Proton kepada DDRB-Hicom – bernilai RM1.2 bilion semuanya. Ini termasuk aset hartanah dan Yayasan Proton serta anak syarikat yang bukan berkaitan automotif yang dimilik Proton.

DRB-Hicom juga akan menanggung sebarang isu-isu peninggalan sebelumnya, jaminan serta jumlah yang tidak dipenuhi sebelumnya yang ditanggung Proton sebelum ini, berjumlah RM331 juta. Disebabkan operasi Proton akan dipindahkan sepenuhnya ke Tanjung Malim, dan premis di Shah Alam (yang turut memiliki litar ujian sendiri) akan dipindah milik kepada DRB-Hicom, syarikat itu akan membina litar baru untuk tujuan sama di Tanjung Malim yang bernilai RM180 juta.

Selain itu, syarikat ini juga akan membayar semula pendahuluan pemegang sahamnya yang bernilai RM567 juta. Semua ini adalah bertujuan untuk tidak membebankan Geely dengan tanggungan yang berlangsung sebelum usaha sama ini dipersetujui, serta membolehkan kerjasama Geely ini dimulakan dengan dari “sifar”.

Kerajaan Malaysia pula memainkan peranan di dalam naratif ini selaku pihak yang ingin melihat Proton mampu berdiri semula dan melangkah lebih jauh – tanpa bantuan kerajaan seperti sebelum-sebelumnya. Baki daripada RM1.5 bilion yang dijanjikan itu, yang bernilai RM250 juta, dijangka akan diserahkan kepada Proton hari ini, sebaik perjanjian muktamad ini ditandatangani.

Selain itu, tuntutan semula berjumlah RM1.1 bilion bagi kerja-kerja R&D yang dilakukan Proton termasuk sebelum diambil alih oleh DRB-Hicom juga akan diserahkan. Pada 2010, Proton memohon tuntutan keseluruhan berjumlah RM3.7 bilion untuk R&D yang telah dilakukan, namun hanya RM1.1 bilion diluluskan.

Oleh kerana RM1.5 bilion yang diberika itu merupakan pinjaman mudah, maka aset bukan automotif yang dinyatakan tadi, berjumlah RM1.2 bilion yang dipindah milik daripada Proton kepada DRB-Hicom, adalah sebagai cagaran jaminan kepada kerajaan Malaysia – sebagai jaminan risiko terhadap pinjaman mudah itu.

Selain itu, DRB-Hicom juga sudah membayar semula RM350 juta yang dipinjam itu kepada kerajaan (walaupun tempoh matang bayaran balik ialah pada 2023). Ini bertujuan untuk membolehkan penyusunan semula operasi pengeluar kenderaan nasional itu seperti yang sedang berlangsung kini.

Dengan perkembangan terbaru ini juga, kerajaan telah memansuhkan perpindahan hak milik (conversion rights) terhadap Proton, dengan cagaran jaminan RM1.2 bilion yang dinyatakan serta berhasilnya pencarian rakan strategik asing – hak milik itu dipindahkan kepada DRB-Hicom sepenuhnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required