Honda dan Hitachi Automotive Systems hari ini mengumumkan penubuhan sebuah syarikat kerjasama untuk pembangunan, pengeluaran dan penjualan motor untuk kenderaan elektrik. Dua syarikat ini telah mengeluarkan perancangan untuk menubuhkan syarikat ini awal Februari lalu, dan perjanjiannya telah ditanda tangani pada bulan Mac.

Syarikat baru yang dinamakan sebagai Hitachi Automotive Electric Motor Systems ini akan berpusat di pejabat Hitachi Automotive Systems di Hitachinaka-shi, wilayah Ibaraki, Jepun, dengan 51% pegangannya dimiliki oleh Hitachi manakala 49% selebihnya adalah milik Honda.

Objektif syarikat ini adalah untuk mengembangkan lagi bekalan global motor elektrik, untuk Honda dan juga pengeluar kenderaan lain. Wakil syarikat tersebut turut menyatakan bahawa pasaran kenderaan elektrik dijangka akan terus berkembang, kerjasama ini dapat mengukuhkan kelebihan bersaing serta asas perniagaan untuk pembangunan motor.

Sebelum ini juga pernah dilaporkan bahawa cabang operasi syarikat kerjasama baru ini sedang dirancang untuk Amerika Syarikat dan China, dengan pusat pengeluaran dan jualan di sana.