Pelumba siri perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge bagi Festival Toyota Gazoo Racing kini bersedia

Pelumba siri perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge bagi Festival Toyota Gazoo Racing kini bersedia

Siri kejuaraan ‘one make’ Vios Challenge sempena Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Malaysia bakal bermula bulan hadapan, dan kesemua pelumba yang akan mengambil bahagian sudah pun bersedia untuk menghadapi cabaran.

Hari ini, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), seramai 24 orang pemandu perlumbaan kini telah tamat pengajian mereka di Sekolah Perlumbaan Vios Challenge dan menerima sijil kelayakan dari Toyota Racing Development (TRD) dari Jepun, disampaikan oleh Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy.

Kesemua mereka menamatkan pengajian pada sekolah perlumbaan berkenaan setelah mempelajari perkara asas seperti protokol keselamatan dan perlumbaan, teknik yang betul untuk mengendalikan kenderaan serta cara terbaik untuk mengekalkan garisan lumba. Lapan daripada pelumba tersebut merupakan selebriti tempatan yang terdiri dari pelakon Fattah Amin, Diana Danielle, Shukri Yahaya dan Janna Nick, penyanyi Geraldine Gan dan Danny Koo, penulis blog Venice Min serta beatboxer Shawn Lee.

Turut menerima sijil yang sama ialah Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama yang akan menyertai para selebriti di dalam Kategori Promosi dalam perlumbaan Vios Challenge ini, dengan pusingan pertama bakal berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang 12 hingga 13 Ogos ini.

Vios Challenge bakal dilangsungkan dengan dibahagikan dalam tiga kategori berbeza iaitu Kategori Super Sporting, Kategori Sporting, dan Kategori Promosi. 10 pelumba akan bersaing di dalam Kategori Super Sporting manakala 17 pelumba lagi akan bersaing di dalam Kategori Sporting. Baki 10 orang pelumba yang lain pula akan menyertai Kategori Promosi. Setiap kategori akan mempunyai dua pusingan, dengan mata akan diberikan bagi kedudukan tertinggi untuk setiap pusingan.

Selain dari selebriti-selebriti yang disebutkan tadi, Vios Challenge turut bakal disertai bintang-bintang dari siri Malaysia Super Series (MSS) dan Malaysia Speed Festival (MSF) antaranya, ‘Prince of Drift’ Tengku Djan Ley, Boy Wong, Syafiq Ali, James Verrapan dan ramai lagi.

Untuk pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Batu Kawan nanti, litar sepanjang 1.65km direka dalam reka bentuk stereng perlumbaan dan mengikut arah pusingan jam. Ia akan menampilkan sembilan selekoh dengan laluan lurus terpanjang merangkumi jarak 156 meter, memastikan laluan yang tersedia mampu memberikan cabaran perlumbaan yang sebenar.

Manakala untuk jentera yang digunakan pula, kesemua pasukan bakal menggunakan kereta yang sama sepenuhnya – Toyota Vios 1.5 J manual yang dibina oleh Wing Hin Motorsport. Kesemua jentera tersebut masih menggunakan enjin asal 2NR-FE bersama ubahsuai diberikan hanyalah dengan sistem ekzos lengkap TRD dan sistem pengurusan enjin dari Motec – mengekstrak 10% lebih kuasa dari jumlah asal .

Transmisi dan klac juga masih standard, tetapi unit karbeda asal telah ditukar kepada LSD dari TRD. Ubahsuai lain yang turut diberikan termasuk penyerap hentak boleh laras sepenuhnya TRD, pad brek TRD dan juga rim Enkei RPF-1 asli bersaiz 15-inci dibaluti tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 195/50R15.

Bahagian dalaman ‘Vios Lumba’ ini diberikan rollcage lengkap asli dari TRD untuk Vios generasi ketiga, ‘kill switch‘ dan paparan informasi perlumbaan Motec yang memberikan pelbagai bacaan seperti rpm, speedo meter, suhu enjin dan pelincir, masa lap, serta pelbagai lagi. Ia turut diberikan tempat duduk hadapan bucket perlumbaan sepenuhnya, lengkap dengan tali pinggang serta stereng perlumbaan tiga jejari – kesemuanya dari OMP.

Perlumbaan Vios Challenge akan menjadi acara utama ketika Festival Toyota GAZOO Racing (TGR). Festival berkenaan turut dibuka kepada umum secara percuma dan akan disertai dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertunjukan drift, persembahan selebriti, trak makanan, sesi pandu uji dan penampilan istimewa model terbaru akan datang, Toyota C-HR.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required