Nissan Leaf generasi berikutnya akan membuat penampilan bulan hadapan, dan nampaknya, beberapa model kereta elektrik lain akan dihasilkan berasaskan kereta tersebut. Menurut laporan Autocar, salah satu daripadanya adalah SUV, yang mungkin akan dipanggil sebagai Nissan Terra.

Ini adalah kerana paten untuk nama Nissan Terra tersebut telah didaftar di Malaysia awal bulan ini. Kenapa Malaysia? Menurut majalah dari United Kingdom tersebut, langkah mendaftar paten di tempat yang kurang menjadi tumpuan adalah demi menyembunyikan pergerakan mereka daripada perhatian ramai.

Nama Terra sebelum ini digunakan pada SUV elektrik konsep yang pernah ditunjukkan pada tahun 2012 di Paris Motor Show dan ia menggunakan sumber kuasa elektrik sama seperti Leaf untuk memusingkan tayar hadapannya, dan ditambah dengan dua motor hydrogen fuel-cell untuk kuasa pada roda belakang.

Nissan Terra versi produksi untuk masa hadapan akan menggunakan sumber kuasa lebih maju daripada Leaf generasi kedua, yang dijangka dapat memberi jarak pergerakan sehingga 550 km, dan sekiranya benar, adalah satu kali ganda lebih berbanding Leaf yang ada sekarang. Leaf baru ini juga akan dilengkapi dengan bentuk lebih aerodinamik, ciri pemanduan satu pedal dan teknologi bantuan pemandu ProPilot.

Dengan adanya pilihan pek bateri baru, Nissan dapat menjual kenderaan elektrik generasi berikutnya dalam pelbagai spesifikasi – bateri paling besar dijangka dapat memberi kuasa satu kali ganda lebih berbanding bateri lithium-ion 30 kWh yang ada pada Leaf sekarang. Varian lebih murah dengan bateri yang kurang berkuasa juga akan ditawarkan.

Penghasilan lebih banyak model daripada platfrom Leaf baru akan membantu Nissan mengurangkan kos pembangunan, dan ia juga adalah langkah sama seperti yang diambil oleh Tesla dengan penghasilan SUV Model Y, berasaskan Model 3.

GALERI: Nissan Terra Concept 2012