Di Thailand, SUV Toyota Fortuner kini diberikan sedikit kemaskini ringkas untuk membolehkannya kekal memberikan nilai tersendiri dalam pasaran di sana. Paling utama ialah pengenalan varian 2.4V 4WD automatik yang dijual pada harga 1,499,000 baht (RM193,100).

Ini menjadikannya Fortuner 4WD paling murah yang dijual di Thailand. Sebelum ini, pembeli perlu memilih varian 2.8V 4WD jika inginkan versi pacuan empat roda, yang dijual pada harga RM1,649,000 baht (RM212,500).

Penambahan lain yang dilakukan termasuk lampu kabus LED, lampu isyarat dan lampu belakang baru serta pemijak sisi yang juga direka semula. Bagi ruang dalaman, tempat duduk penumpang juga dilengkapi dengan kerusi elektrik 8-cara sama seperti kerusi pemandu. Cakera brek juga digunakan untuk semua varian, kecuali 2.4G 2WD Manual.

Enjin bagaimanapun kekal sama. Pilihan yang ada antara enjin 2.4 liter dengan janaan 150 PS/400 Nm atau 2.8 liter dengan 177 PS/450 Nm turbodiesel atau enjin petrol 2.7 liter dengan 166 PS/245 Nm NA Dual VVT-i, yang dipadankan dengan transmisi automatik atau manual enam-kelajuan.

Harga juga telah naik sedikit bagi semua varian ini; ia kini bermula dari 1,239,000 baht (RM159,600) bagi 2.4G 2WD manual, naik sehingga 1,419,000 baht (RM182,800) bagi 2.4V 2WD automatik, 1,569,000 baht (RM202,100) bagi 2.7V 2WD automatik dan 1,579,000 baht (RM203,400) bagi 2.8V 4WD automatik.

Sementara itu, model TRD Sportivo pula dijual pada harga 1,689,000 baht (RM217,600) bagi 2.8 2WD automatik dan 1,759,000 baht (RM226,600) bagi 2.8 4WD automatik; pilihan bagi White Pearl CS dan bumbung hitam dikenakan tambahan kos 20,000 baht (RM2,600).