Barisan model Volvo S90 di Thailand kini menerima pertambahan terbaru dengan pengenalan varian plug-in hybrid serta versi yang lebih murah dengan janaan enjin diesel D4. Menurut laporan Bangkok Post, semua kenderaan itu dipasang di Swedish Motor Assemblies (SMA) Shah Alam sebelum dieskport ke sana.

Volvo S90 T8 Twin Engine, sebuah unit PHEV, ditawarkan dalam kemasan Momentum dan Inscription. Pilihan kedua itu lebih mahal, pada harga 3.79 juta baht (sekitar RM489k), manakala versi Momentum lebih rendah sedikit harganya, dijual pada 3.39 juta baht (sekitar RM437k).

Sistem janaan kuasa T8 Twin Engine plug-in hybrid memberikan kuasa sehingga 407 hp dan 640 Nm. Ia menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder supercas dan turbocas Drive-E petrol, dan juga motor elektrik (87 hp/240 Nm) yang terletak pada gandar belakang. Ia juga dilengkapi ciri AWD elektronik.

Di Malaysia, tempahan bagi model ini telah dibuka kepada umum, dengan pelanggan terawal diberikan harga pengenalan RM348,888. Penyerahan dijangka akan dilakukan penghujung Oktober nanti.

Di Thailand, S90 T8 Twin Engine akan bersaing dengan model Mercedes-Benz E 350 e, sebuah lagi kenderaan plug-in hybrid keluaran Jerman. Bagaimanapun, model berkenaan menjana output kuasa yang lebih rendah; 281 hp dan 550 Nm tork. Mercedes-Benz E 350 e juga akan diperkenalkan di Malaysia, namun tarikhnya masih belum didedahkan.

Bagi unit diesel, S90 D4 Momentum akan menyertai varian D4 Inscription yang dipasang di Sweden. Pertambahan terbaru ini juga dipasang di Shah Alam, dan dijual pada harga 3.09 juta baht (sekitar RM398k). Unit S90 D4 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter twin-turbo diesel yang menghasilkan 190 hp dan 400 Nm.

Sama seperti S90 T8 Twin Engine, ia dilengkapi dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, dengan sistem pacuan roda depan bagi model diesel berkenaan.