Di bawah pengedar baru PT Eurokars Motor Indonesia, Mazda telah memperkenalkan model CX-5 generasi kedua untuk pasaran di sana. Model yang membuat penampilan sulung pada November 2016 itu boleh ditawarkan dalam hanya satu pilihan enjin, Skyactiv-G 2.5 liter petrol dengan dua pilihan tahap kemasan – GT dan Elite.

Enjin NA DOHC dengan ciri i-Stop itu menghasilkan kuasa sebanyak 190 hp dan 251 Nm tork pada 3,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan automatik dengan torque converter yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Ciri G-Vectoring Control – yang mengagihkan tork dari enjin untuk mengoptimumkan beban vertikal pada setiap roda sekaligus memperbaiki maklum balas stereng dan kestabilan – ditawarkan sebagai standard.

Mazda CX-5 di Indonesia mempunyai senarai spesifikasi yang lengkap. Antaranya termasuk rim 19-inci, tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu elektrik 8-larasan, lampu utama, lampu kabus dan DRL jenis LED, pintu ruang barangan belakang elektrik, sistem pendingin hawa dwi-zon dengan penapis udara, sunroof, masukan tanpa kunci dan Push Start serta brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold. Turut disertakan ialah sistem MZD Conect dengan skrin sentuh tujuh-inci dengan paparan berwarna serta sistem audio dengan 10 pembesar suara Bose.

Varian paling tinggi Elite pula ada tambahan tempat duduk pemandu dengan memori kedudukan, tempat duduk penumpang enam-larasan, pemain DVD, sistem tunjuk arah dan perisian i-Activesense oleh Mazda. Versi ini juga lengkapi dengan lampu utama LED adaptif, amaran perhatian pemandu dan sokongan brek dalam bandar.

Mazda CX-5 terbaru ini dijual pada harga Rp 526,800,000 (RM169.160) bagi varian GT dan Rp 548,800,000 (RM176,361) bagi Elite. Bagi pilihan warna Soul Red Crystal dan Machine Grey, tambahan Rp 4,000,000 (RM1,285). Untuk pasaran Malaysia, model ini juga sudah dilihat sedang diuji, dan nampaknya pesaing bagi Honda CR-V ini turut akan diperkenalkan secara rasmi, jangkaannya dalam tempoh yang tidak begitu lama lagi.