Pengeluar kenderaan China, Chery, akan memulakan jualan bagi kenderaan penumpang di Eropah dalam tempoh beberapa tahun akan datang, namun bukan dengan nama ‘Chery’. Sebaliknya, syarikat tersebut bakal memperkenalkan jenama baharu, dan SUV kompak bakal menjadi model pertama yang akan diperkenalkan.

Kenderaan pra-produksi ini akan diperkenalkan buat pertama kali pada Frankfurt Motor Show yang bakal berlangsung September ini, dan syariakt berkenaan telah menyebarkan imej teaser untuk menguar-uarkannya.

Menerusi imej ini, dapat dilihat bahagian hadapan SUV yang agak tebal, yang diinspirasi berdasarkan gril berlian Mercedes-Benz, dan ia senada dengan apron bawah. Kelihatan juga lampu utama LED yang bersambung dengan lampu panduan, corong pengambilan besar dan pelindung bawah bampar.

Melihat pada bahagian sisinya, imej yang kurang dramatik jelas kelihatan, namun bahagian gerbang roda dan garisan yang sedikit berbeza membantu menyerlahkan penampilannya. Manakala lampu belakang yang lebih nipis dengan imej yang sedikit konvensional dipersembahkan.

Menurut Chery, SUV baharu ini “direka bagu pelanggan muda, urban dan berfikiran progresif,” yang mungkin turut menggambarkan kehadiran pelbagai teknologi terkini pada model tersebut. Begitu juga dengan bahagian papan pemuka yang didatangkan dengan pilihan sambungan pelbagai bagi sistem infotainmen serta rekaan suis kawalan yang lebih moden.

Jenama baharu ini juga akan memberikan pilihan kenderaan elektrik hibrid, plug-in hybrid dan elektrik bateri, jadi SUV ini dijangka akan dipadankan dengan mana-mana pilihan bagi penjana kuasanya. “Dalam tempoh beberapa tahun ini, kita akan mula menjual kenderaan keluarga di pasaran Eropah merentasi pelbagai segmen, dengan bekalan kuasa dari beberapa penjana kuasa elektrik,” jelas Anning Chen, CEO Cherry.

“Semua kenderaan Cherry yang dijual di Eropah akan dilengkapi dengan sambungan yang terbaik dalam kelasnya, seronok dipandu, menawarkan ruang dalaman yang luas dan fleksibel serta memberikan personafikasi yang lebih komprehensif, sejajar dengan penetapan standard yang tinggi bagi kualiti produk dan sokongan selepas jualan,” tambahnya lagi.

Sebagai persediaan memperkenalkan jenama baharu itu, Chery telah menilai peluang jualan di pasaran utama, dengan merancang untuk mewujudkan operasi jualan di Eropah dengan kerjasama rakan pengedar dan importnya. Rekaan dan fasiliti R&D baharu juga akan dibangunkan di Eropah bagi mempercepatkan pelan perkembangan Chery di peringkat global.