Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

Selepas beberapa siri teaser, Volkswagen T-Roc akhirnya didedahkan secara rasmi, sedia untuk mengambil tempat di bawah Tiguan. T-Roc adalah sebuah model yang penting bagi Volkswagen kerana ia dibina dengan hasrat memasuki segmen SUV/crossover kompak, yang mana menurut pakar, jualannya akan berganda dalam masa 10 tahun akan datang.

Kereta ini pertama kali dipertonton sebagai sebuah kereta konsep yang menggunakan nama hampir sama semasa Geneva Motor Show tiga tahun lalu, dan rekaan model produksi ini tidak lari terlalu jauh berbanding model konsep tersebut. Di depan terdapat gril yang berbeza jika dibandingkan dengan model semasa Volkswagen yang lain, dan diapit dengan lampu hadapan nipis sehingga ke tepi fender.

Di bawahnya pula terdapat lampu siang LED, yang juga boleh bertukar menjadi lampu penunjuk arah. Bahagian bawah bampar menempatkan satu lagi corong udara, lampu kabus serta skid plate yang diwarnakan kelabu.

T-Roc juga dijadikan lebih dinamik dengan adanya bonet hadapan yang berlekuk, dan lengkuk roda yang lebar, seterusnya menimbulkan lagi garisan tepi kenderaan. Turut boleh dilihat dengan jelas adalah kemasan krom yang bermula dari bawah A-pillar ke keseluruhan bahagian tepi bumbung dan berakhir di C-pillar.

Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

Bagi memberi penekanan kepada konsep “pergi ke mana sahaja”, kemasan plastik digunakan pada badan T-Roc. Selain itu, pembeli juga diberi pilihan untuk mendapatkan skema warna unik, yang mana bumbung, A-pillar serta cermin sisi diwarnakan dengan warna yang berbeza dengan warna utama badan.

Pada bahagian belakang, T-Roc mempunyai cermin yang condong, spoiler di atas pintu but dan grafik moden di dalam lampu belakangnya. Kemasan berwarna perak yang terletak di hujung bampar itu bukanlah tempat muncung ekzos, tetapi digunakan untuk meletakkan pengesan undur.

T-Roc dibina atas platform modular transverse matrix (MQB), yang juga digunakan pada model Tiguan, Atlas serta Teramont. Untuk dimensi, ia berukuran 4,234 mm panjang (252 mm lebih pendek daripada Tiguan), 1,819 mm lebar (tidak termasuk cermin sisi), 1,573 mm tinggi dan jarak roda 2,603 mm.

Badan T-Roc yang lebih tinggi berbanding Golf (1,452 mm) dapat menjadikan tempat duduk juga lebih tinggi, iaitu 572 mm dari atas jalan untuk tempat duduk hadapan, dan 618 mm bagi tempat duduk belakang. Ini sekaligus menghasilkan kedudukan yang diingini bagi pelanggan dalam segmennya.

Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

Pada bahagian dalam, rekaan papan pemuka T-Roc hampir sama seperti yang terdapat pada Golf Sportsvan, tetapi ia telah diserikan dengan dengan kemasan yang berwarna sama seperti badan dan hiasan jalur pada tempat duduk. Kebanyakan tombol serta suis kawalan diambil daripada model Volkswagen semasa dan kelihatan mudah digunakan.

Antara ciri berteknologi yang ada pada T-Roc adalah termasuk Active Info Display 11.7 inci, pengecas induktif bagi telefon pintar, sistem bunyi 300-watt talaan Beats, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, servis sambungan Volkswagen Car-Net dan pelbagai sistem informasi dan hiburan lain.

Untuk sistem informasi dan hiburan, skrin sesentuh 6.5 inci Composition Colour diberikan secara standard untuk semua varian T-Roc. Peningkatan yang boleh dipilih adalah skrin 8.0 inci Composition Media dengan pemain CD dan lebih tinggi daripada itu adalah skrin sesentuh 8.0 inci Discover Media dengan fungsi navigasi.

Kelengkapan lain yang terdapat pada T-Roc adalah termasuk pintu but bukaan elektrik, sistem pemasukan tanpa kunci dan butang pemula, tempat duduk dengan ciri pemanas dan berliang udara, sistem Climatronic dua zon dan pilihan tambahan bumbung panoramik dua bahagian berukuran 870 mm lebar dan 1,364 mm panjang – dikatakan sebagai yang paling besar dalam segmennya.

Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

Volkswagen mendakwa T-Roc yang mempunyai lima tempat duduk ini menawarkan banyak ciri yang praktikal, dengan ruang kargo sebesar 445 liter apabila semua tempat duduk berada dalam kedudukan biasa. Apabila dilipat pula, ia boleh memberikan ruang 1,290 liter – dan dikatakan sebagai yang paling besar di dalam kelasnya.

T-Roc datang dengan ciri keselamatan yang agak lengkap, termasuk antaranya brek kecemasan autonomous (dengan pemerhati pejalan kaki), Adaptive Cruise Control (aktif sehingga kelajuan 210 km/j), pengesan titik buta, Park Assist, Traffic Jam Assist, Lane Assist dan Automatic Post-Collision Braking System.

Volkswagen menawarkan enam enjin turbo untuk T-Roc (tiada versi hibrid), dengan tiga daripadanya adalah petrol (TSI) dan tiga lagi diesel (TDI). Kuasa pula terletak antara 115 PS hingga 190 PS, seperti Tiguan. Kotak gear manual enam kelajuan dan automatik DSG tujuh kelajuan disediakan sebagai pilihan, bergantung kepada pilihan enjin. Turut boleh dipilih untuk enjin tertentu adalah sistem pacuan semua roda 4Motion, yang turut memberi sistem 4Motion Active Control.

Ciri 4Motion Active Control boleh dikawal menggunakan suis yang terletak di konsol tengah, belakang sedikit daripada tombol gear. Ia membenarkan pemandu memilih empat mod pemanduan iaitu Street, Snow, Offroad dan Offroad Individual bergantung kepada keadaan jalan.




Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required