Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

Selepas beberapa bulan model S-Class Sedan W222 membuat penampilan di China, Mercedes-Benz akhirnya memperkenalkan pula S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift. Seperti yang dijangka, kedua-duanya menerima penambah baikan hampir sama seperti model sedan, termasuk versi AMG.

Memandangkan terdapat beberapa variasi bagi model ini, kita mulakan terlebih dahulu dengan model biasa S-Class Coupe dan Cabriolet. Pada bahagian luar, kedua-duanya menerima bampar hadapan dan belakang baru, dengan di bahagian depan terdapat splitter krom dan bukaan udara yang lebih besar. Melalui pakej penggayaan AMG Line pula, bahagian hadapan ini menjadi lebih menonjol dengan adanya dua sirip krom di dalam bukaan udara tersebut.

Sementara itu di bahagian belakang, terdapat dua muncung ekzos dengan kemasan krom di setiap bucu, menggantikan muncung berkembar sebelum ini. Satu penambahan baru adalah lampu jenis OLED (organic light emitting diode), di mana setiap 66 elemen OLED itu dicetak atas plet kaca untuk menimbulkan gaya yang menarik.

Selain mempunyai corak penyalaan menarik semasa mengunci dan membuka kereta tersebut, lampu OLED ini juga boleh menyala dalam beberapa tahap keterangan untuk lampu brek dan penunjuk arah, bergantung kepada keadaan pemanduan dan keterangan keadaan sekeliling.

Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

Turut diubah adalah side skirt baru, dan pilihan rim yang terdiri daripada dua rekaan baru yang boleh didapati dengan pakej AMG Line. Rim AMG baru ini adalah bersaiz 20 inci, yang boleh didapati dengan lengkuk roda yang dicat warna kelabu titanium (pilihan untuk AMG Line) atau hitam berkilat (pilihan untuk AMG Line Plus).

Masuk ke bahagian dalam pula, Widescreen Cockpit yang digunakan pula tidak lagi mempunyai pemisah antara dua skrin 12.3 inci yang digunakan, manakala roda stereng pula kini dilengkapi dengan Touch Control Button, seperti model sedan. Sistem hiburan dan informasi COMAND Online terus menawarkan pelbagai servis seperti navigasi 3D, amaran Car-to-X, sambungan telefon pintar dan concierge-on-call. Operasinya boleh dikawal sama ada menggunakan pad sesentuh pada konsol tengah atau kawalan suara LINGUATRONIC.

Satu lagi ciri yang diambil daripada S-Class Sedan adalah pengawal keselesaan Energising yang disediakan sebagai pilihan. Melalui ciri ini, anda diberikan enam program iaitu Freshness, Warmth, Vitality, Joy, Comfort dan Training, dan ia akan mengubah suhu, pewangi udara, kedudukan tempat duduk, lampu dan media untuk suasana yang tertentu.

Untuk bahagian pemanduan, kedua-dua coupe dan cabriolet menerima pakej sistem bantuan pemanduan Intelligent Drive yang lebih lengkap, hampir sama seperti model sedan. Ini termasuk Magic Body Control yang dipertingkat, dan mampu beroperasi sehingga kelajuan 180 km/j untuk melaras suspensi bergantung kepada apa yang dilihat jauh di hadapan. S-Class Cabriolet pula didatangkan terus dengan suspensi udara Airmatic yang menampilkan kawalan penyerapan boleh ubah.

Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

Enjin yang digunakan pada S 560 4Matic Coupe dan S 560 Cabriolet juga adalah sama dengan model sedan, iaitu unit V8 M176 4.0 liter biturbo dengan kuasa 469 hp dan 700 Nm tork, menggantikan enjin V8 4.7 liter sebelum ini. Enjin baru ini juga datang dengan teknologi nyah aktif silinder untuk menjimatkan minyak dan dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan.

S-Class Coupe menjadi satu-satunya model yang ditawarkan dengan varian S 450 4Matic, dikuasakan oleh enjin V6 3.0 liter biturbo, dengan kuasa 367 hp dan 500 Nm tork. Enjin ini kemudiannya dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic sembilan kelajuan dan mempunyai fungsi gliding untuk menambah kecekapan.

Pergi kepada model AMG pula, kedua-dua model coupe dan cabriolet ditawarkan dengan varian S 63 4Matic+ dan S 65. Bagi model S 63 4Matic+, ia menggunakan enjin V8 4.0 liter biturbo berkuasa 612 hp dan 900 Nm tork, manakala S 65 pula menggunakan enjin V12 6.0 liter biturbo berkuasa 630 hp dan 1,000 Nm tork.

Bagi enjin V8 tadi, ia dipadankan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan manakala enjin V12 dipadankan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift TCT 7G-Tronic tujuh kelajuan. Selain itu, hanya S 63 Coupe dan Cabriolet pemanduan sebelah kiri sahaja yang akan dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+, sementara model panduan sebelah kanan datang standard dengan pacuan roda belakang. Bagi model S 65, pacuan roda belakang adalah standard untuk kedua-dua bentuk badan.

Melihat kepada prestasi, S 63 4Matic+ boleh melaksanakan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat, manakala S 65 pada 4.1 saat. Kedua-duanya juga mempunyai kelajuan maksimum 250 km/j (dihadkan secara elektronik), namun dengan pakej AMG Driver, ia boleh mencecah 300 km/j.

Pada S 65 coupe, ia akan dilengkapi dengan AMG Active Ride Control, yang melaras suspensi kenderaan secara berterusan, lebih awal untuk berhadapan dengan keadaan jalan yang tidak rata. Ia juga boleh dilaras mengikut situasi pemanduan, dan boleh ditinggikan sehingga 40 mm atau direndahkan sehingga 15 mm.

Barangan eksklusif AMG lain pada kenderaan ini termasuk stereng sports elektromekanikal dan sistem brek prestasi tinggi AMG. Seperti juga model AMG lain, ciri Dynamic Select boleh melaras tindak balas enjin, transmisi, suspensi, stereng, ESP dan pacuan empat roda (sekiranya ada) bergantung kepada mod yang dipilih.

Mercedes-Benz S-Class Coupe C217 dan S-Class Cabriolet A217 facelift didedah, termasuk versi AMG

Pada aspek penampilan, versi AMG kini menampilkan gril radiator AMG Panamericana, serta kemasan bawah bampar ‘sayap jet’. Bahagian hadapannya juga mempunyai bukaan udara lebih besar serta splitter yang bertindak memastikan kenderaan terus melekat atas jalan.

Pada bahagian belakang, terdapat bahagian bawah bampar yang direka semula bersama diffuser baru, dan muncung ekzos berkembar bersama sistem ekzos AMG. Lampu belakang OLED turut digunakan pada model ini, dan anda mendapat pilihan pelbagai rim daripada 19 inci hingga 20 inci.

Pada bahagian dalam, model AMG ini ditambah dengan beberapa barangan antaranya tempat duduk sports AMG, jam analog rekaan IWC, roda stereng prestasi, dan AMG Track Pace yang boleh mengambil data kenderaan serta catatan masa pusingan dalam litar.

Mercedes-Benz S-Class Coupe


Mercedes-Benz S-Class Cabriolet

Mercedes-AMG S 63 4Matic+ Coupe

Mercedes-AMG S 63 4Matic+ Cabriolet

Mercedes-AMG S 65 Coupe

Mercedes-AMG S 65 Cabriolet

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required