Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak akan mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan sekiranya tiada ejen penjualan kupon atau mesin bayaran yang dapat dilihat dalam kawasan mereka. Mengikut laporan daripada The Star, pegawai komunikasi MBPJ, Hasbullah Juyahir memberitahu bahawa pihaknya sedar bahawa tidak semua kawasan di dalam Petaling Jaya mempunyai tempat penjualan tiket dan mesin bayaran ini.

“Sistem letak-dan-pamer diperkenalkan secara berperingkat dan sekarang kami mempunyai 16 kedai yang menjual tiket ini. Buat masa ini, kami tidak akan mengeluarkan saman di kawasan yang tidak mempunyai ejen jualan kupon atau mesin bayaran,” kata beliau.

Hasbullah turut menjelaskan sebab mengapa MBPJ melantik ejen kupon di luar bandar raya itu, dengan menyatakan bahawa ada di antara ejen ini mendaftarkan perniagaan mereka di luar Petaling Jaya, iaitu antaranya di Shah Alam, Puchong dan Semenyih.

“Ejen-ejen ini mempunyai pejabat yang didaftarkan di tempat seperti Shah Alam. Walaubagaimanapun, mereka dilantik untuk bekerja dengan ejen yang lebih kecil di Petaling Jaya, untuk menjual kupon ini,” jelas Hasbullah. Sebelum ini, orang ramai telah mempersoalkan rasional melantik ejen di luar Petaling Jaya, sekaligus membiarkan kawasan yang sibuk seperti PJ New Town, Seksyen 14 dan SS2 tidak mempunyai ejen.

Pada masa ini, terdapat 16 ejen yang dilantik untuk mengedarkan lembaran kupon letak kenderaan kepada kedai. Kupon ini datang dalam tiga variasi iaitu pek kupon jam yang berharga RM6 dengan setiap kupon bernilai RM0.60, pek kupon harian berharga RM25 dengan lima kupon berharga RM5 setiap satu, dan pas bulanan yang berharga RM100.