Makin kerap pula kemunculan plat nombor siri khas bagi kenderaan di Malaysia. Terkini, giliran siri G pula mencuri perhatian, yang dikendalikan oleh Yayasan Lee Chong Wei. Plat numbor G 1 hingga G 9999 telah pun diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), telah membuka bidaan sehingga 29 September dan keputusannya akan disiarkan pada 9 Oktober ini.

Difahamkan hasil jualan plat nombor ini adalah bagi sumbangan buat tabung yayasan tersebut untuk memberikan manfaat kepada program dan persatuan sukan termasuk para atlet yang berpotensi menyumbang pingat emas untuk Malaysia sepanjang penganjuran Olimpik 2020 di Tokyo kelak.

Klik untuk besarkan

Harga bidaan minimum ditetapkan bagi beberapa kategori, bergantung pada keistimewaanya nombor terbabit. Bidaan minimum bermula dari RM2,500 untuk nombor biasa sehingga RM250,000 bagi ‘G 2’ hingga ‘G 10’. Manakala ‘G 1’ pula dijual dengan bidaan minimum sebanyak RM500,000 atau sehingga mana angka tertinggi mampu dicapai.

Sebelum ini, terdapat beberapa plat nombor siri bagi pendaftaran kenderaan yang menarik. Antaranya ‘US’, ‘RIMAU’, ‘GT’, ‘VIP’, ‘PERFECT’, ‘NAAM’ dan banyak lagi, selain beberapa plat di bawah JPJ negeri termasuk ‘AKU’, ‘RR’ serta ‘DDD’.