Awal tahun ini, penala dari Jepun yang terkenal dengan mengasilkan kit badan agresif untuk kereta-kereta eksotik – Liberty Walk (LB Performance) – mengumumkan mereka bakal menghasilkan produk untuk Honda NSX generasi baharu. Ia bukan sekadar omongan kosong kerana kit berkenaan kini sudah pun siap.

Seperti hasil-hasil kerja LB Performance sebelum ini, kit tersebut menampilkan panel badan yang lebih lebar untuk setiap ruang roda, splitter udara hadapan, skirt sisi dan juga diffuser belakang yang diperbuat dari karbon. Kit untuk NSX ini turut hadir dengan GT-Wing belakang bersaiz besar bagi melengkapkan rupanya.

NSX yang lengkap ini dipadankan dengan rim aloi dari Forgiato. Bagi merapatkan badan kereta ini ke permukaan jalan, ia turut dilengkapi suspensi udara boleh laras.

Namun, tiada ubahsuai dilakukan terhadap unit janakuasa supercar asli dari Jepun ini. Ia masih dikuasakan unit janakuasa hibrid yang menggabungkan enjin petrol V6 3.5 liter turbo berkembar dan juga tiga motor elektrik yang keseluruhannya berupaya mengerah 573 hp dan tork maksima 646 Nm.